Chong Wei nafi terbabit atur perlawanan

Masa Membaca:2 Minit, 4 Saat

KUALA LUMPUR 24 Ogos – Rentetan pendedahan menggemparkan legenda badminton Indonesia, Taufik Hidayat baru-baru ini, bekas jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei menafikan beliau terbabit dengan aktiviti mengatur perlawanan sepanjang kerjayanya, memetik laporan portal Berita Harian sebentar tadi.

Reaksi bekas pemain nombor satu dunia itu hadir susulan pendedahan dibuat Taufik yang juga rakan baiknya, mengenai cubaan seorang pegawai dari Malaysia yang mahu menyogoknya agar tewas kepada Chong Wei pada aksi separuh akhir Sukan Asia 2006.

Dalam satu wawancara bersama wartawan Indonesia yang dimuat naik di saluran Youtube, TransTV, Taufik mendedahkan dia ditawarkan dua kali ganda daripada bayaran 200 juta rupiah (RM60,000) yang dijanjikan kerajaan Indonesia sekiranya berjaya memenangi emas pada temasya berkenaan.

Chong Wei yang mengakui terkejut dengan pendedahan itu lantas menghubungi Taufik bagi mendapatkan penjelasan.

“Saya hubungi Taufik dan dia kongsikan siapakah pegawai itu kepada saya tetapi saya tidak mahu menamakan atau memalukan individu berkenaan kerana ia sudah lama berlalu. Saya percaya kita perlu bergerak ke hadapan.

“Saya memang benar-benar tidak tahu mengenai perkara ini. Pada waktu itu saya pun baru berusia 24 tahun,” kata Chong Wei kepada BH Sukan.

Pada aksi di Sukan Asia itu, Taufik menewaskan Chong Wei 21-16, 21-18 pada aksi separuh akhir sebelum dia menumbangkan bintang China, Lin Dan 21-15, 22-20 dalam aksi final untuk memenangi pingat emas.

Dalam pada itu, Chong Wei mengakui ketika bergelar pemain dia juga pernah didatangi individu yang cuba untuk menawarkan dia bayaran lumayan untuk mengatur perlawanan tetapi tidak pernah melayannya.

“Untuk saya memang semua orang mahu wang tetapi maruah negara adalah lebih penting. Saya bersumpah yang saya tidak pernah ambil satu sen pun untuk jual perlawanan.

“Saya memang tidak suka dengan perkara seperti ini. Saya mahu menghasilkan keputusan menerusi hasil usaha saya sendiri.

“Kalau kita jual perlawanan bukan kita jual diri kita saja tetapi kita jual negara juga, saya memang tidak akan melakukannya.

“Jadi, nasihat saya kepada pemain ketika ini agar tidak terbabit dengan aktiviti tidak bermoral ini,” katanya yang memenangi tiga pingat perak Olimpik sebanyak tiga kali bermula edisi 2008 di Beijing, 2012 di London dan 2016 di Rio de Janeiro.

Sementara itu, Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mengakui tidak tahu mengenai pendedahan yang dibuat Taufik memandangkan insiden itu berlaku pada 2006 dengan kepimpinan badan induk itu kini sudah berwajah baharu.

“Namun, BAM akan pastikan yang aktiviti tidak bermoral ini tidak akan menular dalam pemain yang ada sekarang,” kata Setiausaha Agung BAM, Datuk Kenny Goh.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

494
Kongsi :
Previous post Nelayan teruja kibar semangat Jalur Gemilang
Next post Anak lelaki bekas KM Sabah meninggal dunia
Ubah saiz-+=