Cipta bahan halau nyamuk, SDARY wakili Melaka ke peringkat kebangsaan

Masa Membaca:2 Minit, 8 Saat

MERLIMAU 15 Januari – Musibah banjir di Kilang Berapi dua tahun lalu menjadi pencetus idea kepada sekumpulan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Dato’ Abdul Rahman Ya’akub (SDARY) untuk meningkatkan kesedaran membanteras nyamuk Aedes.

Berikutan itu, ilham untuk menginovasikan pokok Jeremin bagi menghasilkan lilin dan sabun sebagai bahan penghalau nyamuk tercetus, sekali gus ciptaan itu melayakkan sekolah itu melakar sejarah mewakili Negeri Melaka ke peringkat kebangsaan.

Guru pembimbing, Nurul Asyqin Hamdan berkata, inovasi itu merupakan idea anak muridnya selepas berjaya menyertai beberapa siri pameran selain mengagihkan 500 anak pokok Jeremin bagi memberi pendedahan kepada masyarakat.

“Pokok ini perlu penjagaan yang rapi sebab tidak perlu pendedahan matahari yang banyak dan tidak boleh terlalu redup, jadi ia sedikit sukar untuk menjaganya.

“Hasil daripada itu kita hasilkan ekstrak pokok Jeremin yang dibuat di makmal sekolah kemudian diolah kepada sabun dan lilin untuk dijadikan bahan penghalau nyamuk,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Dbc43860 Fdc4 450c 829f D6caa74b400c
Inovasi lilin organik yang dicipta sekumpulan pelajar SDARY menggunakan ekstrak pokok Jeremin mampu menjadi bahan penghalau nyamuk yang selamat.

Sementara itu, Ketua Kumpulannya, Nur Izzaty Qamarina Ahmad berkata, proses penyulingan lebih kurang 4 jam dilakukan bagi menghasilkan ektsrak Jeremin sebelum dibentuk menjadi lilin dan sabun.

Katanya, produk yang dihasilkan merupakan produk organik dengan menggunakan bahan semula jadi dan selamat digunakan untuk menghalau nyamuk selain mampu mengurangkan kadar jangkitan demam denggi dalam komuniti.

“Kebiasannya ubat penghalau nyamuk yang digunakan sangat berbahaya disebabkan asapnya boleh memberi kesan kepada paru-paru jadi kita cuba cari idea macam mana untuk atasi perkara ini agar selamat digunakan di dalam rumah.

“Penanaman pokok Jeremin dalam kalangan masyarakat amat rendah sebab ramai yang tidak kenal dan mengetahui bahawa pokok ini boleh menghalau nyamuk.

“Demi memberi kesedaran kepada komuniti kami sanggup memesan pokok ini sehingga ke Cameron Highland untuk mengagihkan kepada masyarakat secara percuma,” katanya.

Atas inisiatif dilakukan itu, Pengetua SDARY, Baharin Selamat berkata, empat pelajar termasuk dua orang guru akan mewakili Melaka ke Pertandingan Toyota Eco Youth 2023/24 di Putrajaya pada 21 hingga 23 Januari ini.

Ia sekali gus menyumbang kepada pencapaian tertinggi bagi sekolah luar bandar itu dalam membawa nama negeri di peringkat kebangsaan.

“Alhamdulillah sekolah ini akan bertanding dengan 16 buah sekolah di Malaysia dalam pertandingan yang dianjurkan UMW Toyota Motor bersama Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan juaranya akan membawa pulang RM30,000.

“Kita berharap inovasi yang dibawa anak jati Merlimau ini mampu membawa nama Melaka ke peringkat yang lebih tinggi dan membuktikan bahawa sekolah di luar bandar mampu bersaing dengan sekolah lain di negara ini,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

4697
Kongsi :
Previous post 40 pasukan berentap rebut Piala Bolasepak Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh
Next post Jabatan Perangkaan buka kaunter mudahkan pendaftaran PADU
Ubah saiz-+=