COVID 13,944 kes baharu hari ini – KP Kesihatan

Masa Membaca:2 Minit, 5 Saat

KUALA LUMPUR, 8 Feb – Malaysia merekodkan kes baharu COVID-19 melebihi paras 10,000 untuk tiga hari berturut-turut apabila 13,944 kes dilaporkan setakat 12 tengah hari ini berbanding 11,034 kes semalam, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata jumlah itu menjadikan kumulatif kes COVID-19 kini 2,939,198 kes. Kali terakhir Malaysia mencatatkan kes melepasi 13,000 adalah pada 26 Sept lepas (13,104).

Menerusi laman sosial Twitter rasminya Dr Noor Hisham berkata 99.48 peratus atau 13,871 kes baharu hari ini adalah dalam Kategori Satu dan Dua manakala 73 kes lagi atau 0.52 peratus berada dalam Kategori Tiga, Empat dan Lima.

Beliau berkata Kategori Satu mencatat sebanyak 3,942 kes atau 28.27 peratus; Kategori Dua (9,929 kes atau 71.21 peratus); Kategori Tiga (54 kes atau 0.39 peratus); Kategori Empat (11 kes atau 0.08 peratus) dan Kategori Lima (lapan kes atau 0.05 peratus).

Terdahulu, menerusi laman sosial Twitter rasminya Dr Noor Hisham berkata kadar kebolehjangkitan (Rt) negara mencatatkan 1.32 berbanding 1.27 semalam dengan Sabah dan Perlis merekodkan nilai Rt tertinggi iaitu 1.54 diikuti Sarawak 1.48 dan Terengganu 1.36.

Sementara itu dalam kenyataan harian situasi semasa jangkitan COVID-19, Dr Noor Hisham berkata bagi Minggu Epidemiologi (ME) 5/2022 yang bermula dari 30 Jan hingga 5 Feb, jumlah kes baharu COVID-19 yang dilaporkan adalah 43,062 kes berbanding ME sebelumnya iaitu 31,980 kes dengan peningkatan sebanyak 34.7 peratus.

Beliau berkata jumlah kes kematian pula menunjukkan penurunan sebanyak 8.1 peratus dan purata kes aktif adalah sebanyak 58,099 kes, manakala jumlah kes sembuh COVID-19 yang dilaporkan turut menunjukkan peningkatan sebanyak 15.6 peratus dalam ME 5/2022.

Dr Noor Hisham berkata daripada 13,944 kes baharu yang dilaporkan hari ini, sebanyak 153 kes import dan 13,791 kes tempatan manakala yang memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) ialah 138 kes dengan 71 kes memerlukan bantuan pernafasan.

Menurutnya sebanyak 5,421 kes sembuh dilaporkan hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes sembuh setakat ini ialah 2,824,071.

Selain itu, Dr Noor Hisham berkata 17 kluster baharu direkodkan dengan 375 kluster masih aktif setakat ini.

“Maklumat terperinci lain berkenaan situasi semasa jangkitan dan penularan COVID-19 di Malaysia akan dimuat naik ke laman sesawang COVIDNOW di https://covidnow.moh.gov.my. Data akan dikemas kini pada jam 12 tengah malam setiap hari,” katanya.- BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

494
Kongsi :
Previous post SOP baharu wajib dos penggalak bagi jemaah umrah – Hishammuddin
Next post Pokok tumbang dan bumbung tercabut di P.Pinang akibat ribut
Ubah saiz-+=