Pokok tumbang dan bumbung tercabut di P.Pinang akibat ribut

Masa Membaca:1 Minit, 37 Saat

GEORGE TOWN, 8 Feb – Hujan lebat dan angin kuat yang melanda beberapa kawasan di bahagian pulau di Pulau Pinang menyebabkan banyak kejadian pokok tumbang dan struktur bumbung tercabut hari ini.

Bagaimanapun tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian sekitar pukul 5 petang itu.

Pengerusi Jawatankuasa Alam Sekitar dan Kebajikan negeri, Phee Boon Poh berkata beliau menerima maklumat daripada pasukan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Pulau Pinang memaklumkan terdapat beberapa laporan kejadian pokok tumbang, antaranya di Jalan Zainal Abidin, laluan ke Bukit Bendera dan Jalan Tengku.

“Setakat ini 16 kawasan dilaporkan berlaku kejadian pokok tumbang, dan dalam kejadian di Jalan Tengku, sebatang pokok tumbang dilaporkan menghempap sebuah kereta, namun semasa kejadian tiada sesiapa berada dalam kenderaan itu,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata pihaknya juga menerima laporan kejadian di bangunan medan selera berdekatan stadium mini Sungai Ara, dekat sini yang rosak teruk selepas sebahagian struktur bumbung tercabut akibat dibawa angin kuat tersebut.

Phee berkata struktur bumbung yang tercabut itu telah menghempap beberapa buah kenderaan yang terdapat di kawasan parkir tersebut namun tiada mangsa yang cedera dalam kejadian itu kecuali beberapa kenderaan rosak.

“APM dan kakitangan pembersihan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) sedang menjalankan kerja-kerja pengalihan pokok serta pembersihan di lokasi kejadian,” katanya.

Seorang peniaga di medan selera di Sungai Ara, Razak, 30-an berkata kejadian itu berlaku sangat pantas dan terdapat beberapa pelanggan sedang menikmati hidangan di situ sebelum tiba-tiba hujan lebat dan angin kuat.

“Angin kuat itu membawa sebahagian struktur bumbung di medan selera di sini, Alhamdulillah kami semua selamat, cuma ada beberapa kenderaan rosak dihempap bumbung,” katanya.

Sebelum ini, Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) dalam satu laporan berkata penduduk di negeri Kedah, Pulau Pinang, Perak, Kelantan, Terengganu, Pahang, Sabah dan Sarawak dinasihatkan supaya berwaspada susulan amaran ribut petir dan hujan lebat pada malam Selasa.

Cuaca buruk itu melibatkan seluruh bahagian Pulau Pinang dan Perak sehingga pukul 9 malam ini.- BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1023
Kongsi :
Previous post COVID 13,944 kes baharu hari ini – KP Kesihatan
Next post Peningkatan kes COVID-19 tidak jejas SUKMA KL – Ahmad Faizal
Ubah saiz-+=