COVID-19: 732 kes baharu, enam kematian

Masa Membaca:1 Minit, 34 Saat

KUALA LUMPUR,  21 Okt. – Selepas beberapa hari berturut-turut merekodkan jumlah kes harian melebihi angka 800, hari ini Kementerian Kesihatan melaporkan kes positif COVID-19 di negara ini mencatatkan sedikit penurunan iaitu 732 kes selain enam kematian.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata perkembangan dalam tempoh 24 jam lepas itu menjadikan angka terkumpul positif COVID-19 di Malaysia berjumlah 22,957 kes dengan kes aktif sebanyak 7,827 kes.

“Daripada jumlah kes hari ini, 724 merupakan penularan tempatan dan terdapat lapan kes import yang melibatkan enam warganegara dan dua rakyat asing.

“Sabah masih menjadi negeri dengan kes jangkitan tertinggi iaitu 535 kes atau 73.1 peratus,” katanya pada sidang media perkembangan COVID-19 di Putrajaya.

Dr Noor Hisham berkata tempoh 24 jam lepas hingga tengah hari tadi juga merekodkan  580 kes sembuh, menjadikan jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya daripada jangkitan COVID-19 sebanyak 14,931 kes atau 65 peratus daripada jumlah keseluruhan jangkitan yang dilaporkan.

Beliau berkata pada masa ini terdapat 102 kes sedang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dengan 31 memerlukan bantuan pernafasan.

Bagi kes positif mengikut negeri, selain Sabah yang mencatat bilangan kes terbanyak, Selangor merekodkan 114 kes, Kuala Lumpur (20), Pulau Pinang (12), sementara Negeri Sembilan dan Labuan masing-masing sembilan kes.

Kedah dan Perak pula masing-masing mencatat tujuh kes, Putrajaya (6), Melaka (3), manakala Kelantan dan Pahang masing-masing satu kes.

Mengenai enam kematian baharu, Dr Noor Hisham berkata lima direkodkan di Sabah, melibatkan empat rakyat tempatan (tiga lelaki dan seorang wanita) serta seorang lelaki warga asing, yang  berusia antara 27 dan 55 tahun.

“Satu kematian lagi melibatkan lelaki warganegara direkodkan di Labuan, berusia 46 tahun yang dirawat di Hospital Labuan dan mempunyai sejarah penyakit darah tinggi,” katanya.

Hingga kini, jumlah keseluruhan kematian akibat COVID-19 di negara ini ialah 199 kes atau 0.87 peratus daripada jumlah keseluruhan kes, katanya.- BERNAMA

Views:

245
Kongsi :
Previous post COVID-19: Melaka catat 3 kes baharu
Next post COVID-19: Tiga kes baharu positif babit pekerja kilang
Ubah saiz-+=