COVID-19: Boleh kompaun di stesen minyak

Masa Membaca:1 Minit, 20 Saat

AYER KEROH 23 Okt. – Mana-mana individu yang tidak memakai pelitup muka di tempat terbuka termasuk di stesen minyak boleh dikenakan tindakan kompaun mengikut undang-undang.

Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJK) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka Asisten Komisioner Beh Eng Lai menegaskan tindakan itu tidak sepatutnya menjadi isu yang perlu diperbesarkan.

“Prosedur operasi standard (SOP) pemakaian pelitup muka telah diterangkan dengan jelas sejak arahan itu dikeluarkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Antara tempat yang diwajibkan pemakaian pelitup muka ialah di stesen minyak, jadi ia bukanlah satu isu.

ANTARA halaman Facebook yang sempat menyalin hantaran Facebook Polis Melaka.

“Kalau masih tidak berpuas hati, boleh periksa di laman web MKN dan baca mengenai SOP pemakaian ‘mask’ (pelitup muka) di tempat awam,” katanya ketika dihubungi Melaka Hari Ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas persoalan warganet mengenai penularan isu kompaun yang dikenakan kepada individu yang tidak memakai pelitup muka di sebuah stesen minyak di Bukit Beruang sejak kelmarin.

Dalam operasi yang dijalankan pasukan Op COVID-19 IPK Melaka itu, seorang pegawai keselamatan dikenakan kompaun RM1,000 kerana gagal mematuhi SOP mengikut Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah di dalam kawasan tempatan jangkitan) 2020.

Mengulas lanjut, Eng Lai menasihati orang ramai agar sentiasa mematuhi SOP yang telah ditetapkan untuk mengelakkan daripada dikompaun sekali gus memutuskan rantaian COVID-19 di negeri ini.

Untuk rekod, dari 19 Mei hingga 21 Oktober 2020, sebanyak 1,457 kompaun telah dikeluarkan Polis Kontinjen Melaka kepada individu dan premis yang melanggar SOP iaitu bermulanya Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan yang telah ditetapkan kerajaan.

Views:

959
Kongsi :
Previous post Kilang fucuk goreng diserbu
Next post Rasuah: Bekas penolong jurutera dipenjara 14 tahun
Ubah saiz-+=