COVID-19: England kuat kuasa sekatan pergerakan nasional kedua

Masa Membaca:1 Minit, 4 Saat

LONDON 5 Nov. – Jutaan rakyat Britain mula duduk di rumah berikutan pelaksanaan sekatan pergerakan nasional kedua bagi membendung jangkitan COVID-19, bermula pada Khamis, lapor agensi berita Anadolu.

Di bawah sekatan itu, orang ramai diminta duduk di rumah kecuali, jika boleh bekerja dari rumah dan elak berkumpul lebih seorang pada satu masa.

Kedai barangan kurang penting, pub, restoran, dan gimnasium akan ditutup sehingga tempoh sekatan pergerakan berakhir pada 2 Disember.

Langkah-langkah baharu ini berkuat kuasa di tengah-tengah gelombang kedua pandemik yang telah menyebabkan peningkatan ketara kes jangkitan dan kematian dalam beberapa minggu terakhir.

Data pemerintah yang dikeluarkan pada Rabu menunjukkan 25,177 orang lagi diuji positif untuk COVID-19 di seluruh United Kingdom (UK) dalam tempoh 24 jam terakhir, angka kedua tertinggi dalam catatan, menjadikan jumlah keseluruhan hampir 1.1 juta (1,099,059).

Sebanyak 492 kematian lagi menambah jumlah kematian kepada 47,742 orang.

Perdana Menteri Boris Johnson pada Rabu berkata “tidak bersedia untuk merisikokan nyawa rakyat Britain,” menekankan tanpa sekatan pergerakan baharu, kematian akan berlaku “dalam skala yang menyedihkan.”

Beliau berkata Perkhidmatan Kesihatan Nasional (NHS) kemungkinan akan menghadapi “masalah luar biasa” bulan depan jika tiada sekatan.

Canselor Rishi Sunak dijangka akan membuat pengumuman mengenai skim furlough, iaitu pemerintah membayar 80 peratus gaji mereka yang kehilangan pekerjaan disebabkan langkah sekatan pergerakan.

— BERNAMA

Views:

224
Kongsi :
Previous post Menangis lihat artifak Rasulullah SAW
Next post COVID-19: Lima kes baharu di Melaka
Ubah saiz-+=