COVID-19: Melaka terus pantau elak pertambahan kluster baharu

Masa Membaca:1 Minit, 24 Saat

BUKIT KATIL 25 Julai – Jabatan Kesihatan negeri sedang memantau dengan teliti kes jangkitan COVID-19 yang berpotensi mencetus kluster baharu di negeri ini.

Exco Kesihatan, Datuk Rahmad Mariman berkata, langkah itu penting bagi berdepan jangkaan 66 kluster baharu boleh berlaku jika tiada tindakan pantas diambil.

Bagaimanapun ujarnya, angka itu hanyalah jangkaan awal membabitkan semua daerah dan kebarangkalian kewujudan kluster baharu itu boleh berlaku atau sebaliknya.

“Boleh jadi kluster baharu itu wujud, mungkin juga ia tidak akan berlaku…tapi kebiasaannya bila kes mendadak lebih 20 kes akan diisytiharkan kluster baharu.

“Sebab itu pentingnya persediaan awal dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memantau rapat bagi memastikan kluster baharu yang dijangkakan itu tidak berlaku,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyertai lawatan Yang di-Pertua Negeri Melaka Tun Seri Setia Mohd Ali Mohd Rustam di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Program Imunisasi Industri COVID-19 Kerjasama Awam-Swasta (PIKAS) di Bayou Convention Centre, di sini hari ini.

Hadir sama lawatan Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Lim Ban Hong.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Antidadah negeri itu menjelaskan kluster tempat kerja iaitu Industri Lot 11 di Tangga Batu yang bermula sejak 13 Julai lalu telah menyumbang kepada pertambahan kes positif COVID-19 mendadak di negeri ini.

Menurutnya, sebanyak 312 kes daripada keseluruhan 631 kes harian semalam adalah daripada kluster itu.

“Sejak bermulanya kluster itu sebanyak 467 kes positif dilaporkan dengan 458 atau 98.1 peratus adalah pekerja asing dan selebihnya pekerja tempatan.

“Kilang elektronik itu telah pun diarahkan tutup 14 hari bermula Jumaat lalu, namun kita dapati penularan kes COVID-19 ini telah merebak ke peringkat kedua dalam kalangan tempat kerja,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

333
Kongsi :
Previous post Harga telur ayam di Melaka naik mendadak
Next post KPDNHEP Melaka keluar notis dapatkan maklumat kenaikan harga telur
Ubah saiz-+=