Harga telur ayam di Melaka naik mendadak

Masa Membaca:2 Minit, 44 Saat

PAYA RUMPUT 25 Julai – Entah apa puncanya, harga telur ayam di Melaka dikesan naik mendadak secara tiba-tiba sejak akhir-akhir ini.

Tinjauan Melaka Hari Ini (MHI) di beberapa kedai dan pasar raya mendapati, kenaikan harga telur naik sekitar RM2 hingga RM3 berbanding sebelum ini.

Seorang peniaga kedai runcit Pasar Basah DDD di Tanjung Minyak Perdana, Mohd Sabri Saiful Rahman, 37, berkata, kenaikan harga itu mula dikesan selepas Hari Raya Aidiladha apabila pembekal menetapkan harga runcit RM11.70 bagi sepapan telur ayam gred B.

Disebabkan kenaikan itu, ujarnya, dia terpaksa menjual sepapan telur dengan harga RM12.50 berbanding RM10.50 hingga RM11 sebelum ini.

 

MOHD Sabri menunjukkan telur ayam yang masih banyak tidak terjual selepas kenaikan harga.

“Pembekal cuma beritahu harga naik tapi tak maklumkan kenapa, mungkin berpunca daripada penutupan beberapa kilang telur di negeri ini akibat COVID-19.

“Tapi kita tak boleh buat apa, kita kena naikkan harga juga.

“Bila letak RM12.50 memang ramai pelanggan bersungut, malah ada yang dengar harga macam itu terus tak jadi beli,” katanya kepada Melaka Hari Ini (MHI).

Menurutnya, sebelum ini 30 papan telur boleh dijual hanya dalam tempoh dua hari, tetapi sekarang memang jualan amat perlahan.

“Kalau tak boleh jual, saya terpaksa membuang telur-telur yang tamat tempoh dan itu memberi kesan kepada perniagaan saya,” katanya.

Justeru, dia meminta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Melaka memantau kenaikan harga itu demi peniaga dan pengguna di negeri ini.

RAZMI, peniaga Restoran Nasi Kukus Daun Pisang di Tanjung Minyak Perdana.

Sementara itu, bagi peniaga Restoran Nasi Kukus Daun Pisang, Razmi Zulkifli, 59, kenaikan mendadak harga telur ayam itu nyata memberi kesan kepada perniagaan makanannya.

Jelasnya, walaupun berlaku kenaikan harga bahan mentah itu, dia tidak boleh menaikkan harga makanan sewenang-wenangnya membuatkan keuntungannya sedikit menurun.

“Dahulu telur ayam saya boleh beli dengan harga RM7 atau RM8 sekilogram sepapan…sekarang naik jadi RM11 dan RM12.

“Tapi sebagai peniaga, mahal macam manapun kita tetap kena beli kerana ada pelanggan yang lebih sukakan telur.

“Walaupun mahal, kita tak boleh naikkan harga sewenang-wenangnya dan bertahan sementara waktu sebab kita faham ramai juga orang di luar sana tengah susah,” katanya.

Menurut Razmi, dia kini terpaksa bertahan buat sementara waktu dan mengekalkan harga.

“Nak kata tak ada untung itu tipulah, untung memang ada, cuma berbeza daripada kita dapat sebelum ini.

“Dengan kos sewa kedai, upah pekerja dan utiliti lagi, ditambah dengan kekurangan pelanggan sepanjang ‘lockdown’, memang agak berat jugalah untuk kami,” katanya lagi.

Tinjauan MHI di beberapa pasar raya utama sekitar Cheng turut mendapati berlaku kenaikan harga telur ayam.

Telur ayam gred C misalnya, kini dijual dengan harga RM11.99 sepapan diikuti telur gred B, RM13.25 dan telur gred A RM13.69.

Selain itu, harga bagi pek 10 biji telur turut dikesan naik mendadak apabila dijual dengan harga sekitar RM5.80 hingga RM6.75 berbanding RM3.60 hingga RM5 sebelum ini.

Semalam, MHI melaporkan sebuah kilang pengeluaran telur di Durian Tunggal ditutup sementara selama dua minggu susulan 20 pekerjanya dikesan positif COVID-19.

Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan sama ada penutupan itu menjadi punca berlaku kenaikan harga telur di negeri ini sejak akhir-akhir ini.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

3733
Kongsi :
Previous post (EKSKLUSIF) Bekalan oksigen di Hospital Melaka tak cukup?
Next post COVID-19: Melaka terus pantau elak pertambahan kluster baharu
Ubah saiz-+=