COVID-19: Pasar raya di Jasin cetus kluster baharu di Melaka

Masa Membaca:1 Minit, 12 Saat

PUTRAJAYA 6 Mac. – Sebuah pasar raya di Taman Kelubi, Jasin, mencetuskan satu kluster baharu COVID-19 di Melaka pada hari ini, yang diberi nama ‘Kluster Jalan Haji Malek’.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam satu kenyataan memaklumkan kes indeks bagi kluster berkenaan dikesan pada 21 Februari lalu menerusi saringan individu bergejala.

Ia membabitkan seorang wanita berusia 46 tahun yang dikatakan mula bergejala pada 19 Februari.

“Sehingga kini sebanyak 11 kes positif telah dikesan menerusi kluster ini, termasuk satu kes baharu yang direkodkan pada hari ini.

“Secara keseluruhan 23 ujian saringan telah dijalankan membabitkan kluster yang dikategorikan sebagai kluster tempat kerja itu,” kata kenyataan itu.

Sementara itu, Jabatan Kesihatan Negeri Melaka memaklumkan kes berkenaan melibatkan 10 orang pekerja pasar raya berkenaan yang kemudian menular kepada seorang lagi ahli keluarga.

Jelas kenyataan itu, daripada 11 kes yang dilaporkan, empat daripadanya membabitkan warganegara tempatan, manakala tujuh lagi bukan warganegara.

“Sehingga kini, menerusi ujian saringan yang dijalankan, 11 dikesan positif dan tiga lagi negatif, manakala sembilan lagi masih menunggu keputusan.

“Proses siasatan kawalan sedang dijalankan dan proses disinfeksi juga telah dilakukan di pasar raya terbabit,” kata kenyataan itu.

Dalam pada itu, kes harian COVID-19 pada hari ini menunjukkan terdapat pertambahan 10 kes baharu COVID-19 di Melaka.

Ia disumbangkan menerusi Kluster Tembok Sungai Udang dan Kluster Jalan Haji Malek yang masing-masing merekodkan satu kes, manakala baki lapan lagi kes dikesan menerusi saringan kontak rapat.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

604
Kongsi :
Previous post Penjual jagung cawan kini pelopor jenama Hang Boba
Next post 136 terbabit pemantauan pematuhan PKPD di Sekolah Henry Gurney
Ubah saiz-+=