136 terbabit pemantauan pematuhan PKPD di Sekolah Henry Gurney

Masa Membaca:1 Minit, 20 Saat

MELAKA 6 Mac. – Sebanyak 136 anggota dan pegawai polis, tentera serta kakitangan Sekolah Henry Gurney Telok Mas di sini terlibat dalam penugasan memantau pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di pusat itu yang berkuat kuasa tengah malam tadi hingga 19 Mac depan.

Pegawai Turus Ketenteraman Awam Ibu Pejabat Polis Kontinjen Melaka, Deputi Superintendan Nik Ab Halim Nik Mat berkata penugasan berkenaan melibatkan sekatan jalan raya (SJR) khas memasuki sekolah dan rondaan di sekitar kawasan PKPD itu oleh unit peronda kereta (MPV).

Beliau berkata bagi SJR khas, 24 anggota polis dan tentera terlibat dalam empat sesi syif kawalan bagi tempoh 24 jam setiap hari untuk mengawal pergerakan keluar masuk ke sekolah.

“Unit MPV pula melibatkan empat anggota bagi satu syif rondaan manakala kakitangan penjara atau sekolah terlibat memantau pergerakan kira-kira 1,000 pelatih dan 83 kakitangan penjara yang berada di sekolah itu,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.

Sementara itu Nik Ab Halim berkata lima SJR dilaksanakan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) 2.0 di Melaka, melibatkan kira-kira 140 anggota polis, tentera dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) bermula semalam.

Beliau berkata SJR itu jelasnya dilaksanakan di kawasan sempadan negeri iaitu di Tol Ayer Keroh, Tol Simpang Ampat, Tol Lipat Kajang, Jalan Kuala Linggi dan Sungai Rambai bagi mengelakkan sebarang cubaan merentas negeri.

“Pada masa yang sama, polis Melaka juga turut dibantu 23 pegawai dari Kementerian Dalam Negeri untuk memantau pematuhan SOP COVID-19 di kawasan tumpuan awam seperti pusat beli-belah, restoran, kedai makan dan pasar,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

940
Kongsi :
Previous post COVID-19: Pasar raya di Jasin cetus kluster baharu di Melaka
Next post Lima kereta ditenggelami banjir kilat
Ubah saiz-+=