COVID-19 ragut 360 nyawa lagi hari ini

Masa Membaca:2 Minit, 2 Saat

KUALA LUMPUR 8 Ogos – Malaysia merekodkan 360 kematian akibat COVID-19 hari ini iaitu angka tertinggi sejak pandemik itu melanda negara tahun lalu, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata, angka baharu itu menjadikan keseluruhan korban akibat virus berbahaya itu di negara ini ialah 10,749 orang.

Pecahan kes kematian itu membabitkan 296 warganegara dan 64 bukan warganegara, manakala 85 kes adalah kematian di luar fasiliti kesihatan atau sudah meninggal dunia ketika dibawa ke hospital (BID) yang membabitkan 56 rakyat tempatan dan 29 warga asing.

“Sejumlah 221 kematian (berlaku) di Selangor, 41 di Kuala Lumpur, Melaka (20), Perak (17), Pulau Pinang (15), Johor (14), Kedah (tujuh) serta masing-masing enam di Negeri Sembilan dan Pahang sementara masing-masing lima kes di Sabah dan Terengganu, dua di Putrajaya serta satu di Kelantan,” menurutnya dalam kenyataan mengenai perkembangan COVID-19 hari ini.

Terdahulu, Dr Noor Hisham melalui ciapan di Twitter memaklumkan 18,688 kes baharu dilaporkan hari ini menjadikan kumulatif kes kini 1,262,540.

Dr Noor Hisham berkata, daripada jumlah kes baharu itu, sebanyak 15,755 melibatkan warganegara dan 2,923 bukan warganegara dengan majoriti iaitu 97.9 peratus adalah pesakit COVID-19 kategori 1 dan 2 manakala hanya 2.1 peratus daripada kategori 3, 4 dan 5.

“Jumlah ini adalah berdasarkan keadaan klinikal kes semasa baharu yang didiagnosis COVID-19.

“Terdapat kes kekal di kategori yang sama sepanjang tempoh jangkitan, namun ada juga yang berubah status kesihatan kes sama ada bertambah baik ke kategori lebih rendah atau merosot ke kategori lebih tinggi,” katanya.

Beliau berkata, hanya 4,460 (23.9 peratus) daripada jumlah kes yang dilaporkan hari ini mempunyai sejarah imunisasi COVID-19.

Ketua Pengarah Kesihatan itu berkata, kes aktif kini mencecah 225,393 manakala pesakit COVID-19 yang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) ialah 1,095 orang dengan 571 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.

Beliau juga berkata, 39 kluster baharu dikesan hari ini merangkumi 18 kluster di tempat kerja, 15 kluster komuniti, masing-masing dua bagi kluster pusat tahanan dan kluster kumpulan berisiko tinggi serta masing-masing satu bagi kluster keagamaan dan institusi pendidikan tinggi.

Katanya, setakat semalam, nilai kadar kebolehjangkitan (RT) Malaysia ialah 1.08 manakala negeri yang mencatatkan RT tertinggi ialah Perlis dengan 1.47 diikuti Kelantan (1.25), Sabah (1.18) dan Pulau Pinang (1.18) sementara negeri lain mencatatkan RT melebihi 1.0 kecuali Labuan (sifar).

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

332
Kongsi :
Previous post Kemudahan sektor ekonomi akan diumumkan dalam waktu terdekat
Next post ‘Long Tiger’ didakwa rogol seorang wanita
Ubah saiz-+=