COVID-19 : SK Jeram, SK Pengkalan Balak ditutup tiga hari

Masa Membaca:1 Minit, 10 Saat

AYER KEROH 6 April – Dua sekolah kebangsaan (SK) di Masjid Tanah di sini diarahkan tutup bermula esok (Rabu) sehingga Jumaat ini susulan terdapat kes jangkitan COVID-19 di sekolah itu, semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Antidadah Negeri Datuk Rahmad Mariman berkata, sekolah itu ialah SK Pengkalan Balak yang membabitkan tiga murid dan tiga guru positif COVID-19.

“Manakala SK Jeram turut ditutup pada tarikh yang sama rentetan terdapat empat kes positif COVID-19 membabitkan guru dan staf sekolah.

“Kedua-dua sekolah ini diarahkan tutup selepas mendapat penilaian Pusat Kesihatan Daerah (PKD) Alor Gajah dan ia bergantung kepada pergerakan kes tersebut.

“Contohnya, jika hanya satu atau dua murid dari kelas yang sama dijangkiti COVID-19 maka tidak perlu tutup sekolah dan murid di kelas itu sahaja dikuarantin,” katanya kepada MHI.

Dalam pada itu, Rahmad berkata turut dijangkiti membabitkan dua kes dalam kalangan staf Kolej Univerisiti Islam Melaka (KUIM), namun tiada penutupan yang dilakukan setakat ini.

“Semua kes ini termasuk dalam Kluster Jalan Kenanga daripada kes indeks seorang suri rumah dari Jalan Kenanga Taman Paya Rumput Masjid Tanah.

“Ia berpunca jangkitan kes indeks dalam komuniti dan seramai 298 kontak rapat keluarga, sosial dan tempat kerja telah dikesan,” katanya.

Katanya, daripada jumlah itu, seramai 207 disaring dan 25 positif yang mana kluster itu melibatkan lima keluarga di lokasi berasingan di Kuala Sungai Baru dan Kuala Linggi.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

581
Kongsi :
Previous post Bapa Rina meninggal dunia
Next post Hospital swasta sedia bantu orang awam daftar vaksin COVID-19
Ubah saiz-+=