COVID: 6,982 kes baharu, hari keempat berturut-turut kes lebih 6,000

Masa Membaca:1 Minit, 46 Saat

KUALA LUMPUR 2 Julai – Jumlah kes baharu harian COVID-19 dalam negara terus merekodkan angka melebihi 6,000 untuk empat hari berturut-turut apabila sejumlah 6,982 kes dilapor dalam tempoh 24 jam lalu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menerusi perkongsian dalam Twitter memaklumkan dengan kes baharu harian itu menjadikan jumlah kumulatif kes kini berjumlah 765,949.

Selangor kekal mencatat kes harian tertinggi dengan 2,907 kes, diikuti Kuala Lumpur (637); Negeri Sembilan (606); Johor (517); Sarawak (440); Pulau Pinang (351); dan Pahang (329).

Selain itu, Kedah merekodkan 257 kes diikuti Sabah (230); Melaka (202); Perak (182); Labuan (131); Kelantan (129); Terengganu (44); Putrajaya (20); serta tiada kes baharu di Perlis.

Sementara itu, Dr Noor Hisham dalam kenyataan berkata daripada 6,982 kes baharu, tiga adalah kes import dan 6,979 melibatkan penularan dalam negara.

Beliau berkata sebanyak 6,278 kes sembuh dicatatkan hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes pulih 694,538.

“Kes aktif kini mencatatkan 66,084 manakala jumlah pesakit COVID-19 yang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) seramai 905 orang termasuk 443 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan,” katanya.

Dr Noor Hisham turut memaklumkan 73 kematian direkod hari ini melibatkan 64 warganegara dan sembilan warga asing, menjadikan angka keseluruhan korban akibat wabak itu kini 5,327 orang.

Sementara itu, beliau memaklumkan 17 kluster baharu dikesan hari ini dengan sembilan daripadanya penularan di tempat kerja, lima kluster komuniti dan tiga kluster kumpulan berisiko tinggi.

Kluster tempat kerja direkodkan ialah kluster Damai 16, Jalan By Pass Batu Anam dan Keluli Industri Tiga di Johor; kluster Perdagangan Harmoni Satu, Jalan Besar Teras Jernang dan Tapak Bina Persiaran Institusi di Selangor; kluster Kilometer 85 Mukah (Sarawak); kluster Jalan Masjid India (Kuala Lumpur); dan kluster Jalan Masjid India (Pulau Pinang).

Kluster komuniti pula ialah kluster Kampung Sungai Hilir Perupok dan Kampung Pahi Kuala Krai di Kelantan; kluster Kompleks Fasa Dua (Johor); kluster Sungai Gamong (Sarawak); dan kluster Tanjung Pitas (Sabah).

Bagi kluster kumpulan berisiko tinggi pula adalah kluster Persiaran MARDI dan Jalan Orkid di Selangor serta satu di Johor melibatkan kluster Persiaran Soga.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

336
Kongsi :
Previous post ‘Saya tolak bendera putih, kita ada wakil rakyat’ – Norhizam
Next post Sidang Parlimen diadakan secepat mungkin sebelum 1 Ogos- Takiyuddin
Ubah saiz-+=