‘Saya tolak bendera putih, kita ada wakil rakyat’ – Norhizam

Masa Membaca:1 Minit, 56 Saat

BANDA HILIR 2 Julai – EXCO pertanian negeri menolak penggunaan bendera putih di negeri ini yang dilihat menidakkan saluran rasmi kerajaan membantu rakyat sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Datuk Norhizam Hassan Baktee berkata, tindakan itu juga berkemungkinan adalah  mainan ‘halus’ politik pembangkang seolah-olah kerajaan Perikatan Nasional (PN) gagal membantu rakyat.

“Saya tolak bendera putih…sebagai EXCO, bendera putih tak perlu. Kita ada wakil rakyat, JKM (Jabatan Kebajikan Masyarakat), ​JPKK (Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung), Sidang takkan mereka tak boleh kenal pasti rakyat yang tiada makanan?

“Pada saya tak perlu ada (bendera putih). Paling penting wakil rakyat kena buat kerja…peruntukan dah ada jadi kita buat kerjalah, sebagai wakil rakyat kena turun padang,” katanya ketika ditemui Melaka Hari Ini dalam tinjauan peniaga di Bazar Ole-ole Melaka di sini hari ini.

NORHIZAM (tengah) melihat produk makanan yang tamat tempoh bersama peniaga kraftangan dan makanan, Siti Nor Zalina Zulkifli, 32, (kanan) ketika lawatan di Bazar Ole-ole Melaka, Banda Hilir hari ini. Foto: MR. Azli

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Penternakan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi itu berkata, beliau amat memahami kesukaran yang dihadapi rakyat namun rakyat juga perlu berhati-hati memahami maksud tersirat di sebalik bendera putih yang mungkin dijadikan ‘senjata’ propaganda politik pembangkang.

“Boleh kata begitulah (propaganda politik pembangkang), nak nampakkan kelemahan kerajaan PN dalam membantu rakyat sedangkan kerajaan sudah melakukan yang terbaik.

“Nasihat saya kepada rakyat, kalau tak ada makanan, datanglah ke pusat khidmat masyarakat atau cari JPKK untuk bantu, bukannya dengan mengibarkan bendera putih kerana kita ada sistem dan saluran rasmi yang betul,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Batu.

Isu bendera putih mula tular di media sosial sejak awal minggu ini yang meminta rakyat mengibarkan bendera putih di depan rumah sebagai tanda memohon bantuan dalam mendepani cabaran hidup ketika pandemik COVID-19.

Bagaimanapun, terdapat beberapa pihak yang mempertikaikan inisiatif tersebut dengan mendakwa ia bermotif politik, malah sesuatu yang tidak wajar kerana dianggap telah menyerah kalah.

Semalam, Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor dilaporkan media mengangap kempen mengibar bendera putih sebagai propaganda politik yang sengaja dicipta bagi membina persepsi negatif terhadap kerajaan PN.

Beliau mengingatkan orang ramai yang terputus bekalan makanan tidak mengibarkan bendera putih kerana terdapat pelbagai saluran lain boleh diguna bagi mendapatkan bantuan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

673
Kongsi :
Previous post NHRVR untuk pastikan integriti kajian klinikal di Malaysia
Next post COVID: 6,982 kes baharu, hari keempat berturut-turut kes lebih 6,000
Ubah saiz-+=