COVID: Kes sembuh lebih tinggi berbanding kes baharu semalam

Masa Membaca:1 Minit, 22 Saat

KUALA LUMPUR, 10 April – Sebanyak 15,132 kes sembuh daripada jangkitan COVID-19 dilaporkan semalam, lebih tinggi berbanding kes baharu iaitu 10,177 kes, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata daripada jumlah kes baharu yang dilaporkan semalam itu, 10,124 adalah kes tempatan dengan 96.8 peratus adalah warganegara dan 26.4 peratus bukan warganegara manakala 53 kes import pula terdiri daripada 73.6 peratus warganegara dan 26.4 peratus bukan warganegara.

“Sebanyak 486 kes COVID-19 dimasukkan ke hospital semalam dengan 198 kes atau 40.7 peratus adalah kategori tiga, empat dan lima manakala selebihnya 288 kes atau 59.3 peratus adalah kategori satu dan dua,” kata Dr Noor Hisham dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata pesakit COVID-19 yang memerlukan alat bantuan pernafasan menurun kepada 108 pesakit semalam dengan peratusan penggunaan ventilator adalah 12 peratus.

Mengenai fasiliti kesihatan khusus untuk kes COVID-19, Dr Noor Hisham berkata hanya Selangor mencatatkan penggunaan katil Unit Rawatan Rapi (ICU) melebihi 50 peratus iaitu 58 peratus dan hanya negeri Selangor juga merekodkan penggunaan katil bukan ICU melebihi 50 peratus iaitu 51 peratus.

Bagi pengisian katil di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC), tiada negeri yang mencatat peratusan pengisian melebihi 50 peratus.

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata terdapat dua kluster baharu direkodkan semalam menjadikan jumlah kluster yang aktif kini adalah 129 kluster.

Menurutnya kadar kebolehjangkitan COVID-19 atau nilai Rt dicatatkan di seluruh negara pula adalah 0.83 dengan Selangor masih merekodkan kadar tertinggi iaitu 0.93 dan Kelantan mencatat kadar paling rendah dengan 0.65.- BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1091
Kongsi :
Previous post Kian Meng – Pei Jing juara Terbuka Korea
Next post Persiapan Ramadan berbeza lepas pemergian suami, utamakan anak-anak
Ubah saiz-+=