Cuti khas mengundi, Melaka ikut keputusan Kerajaan Pusat- KM

Masa Membaca:1 Minit, 23 Saat

JASIN 10 November – Kerajaan Negeri mengikut keputusan Kerajaan Persekutuan sama ada membenarkan cuti khas sebelum hari pengundian Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), 19 November ini.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali berkata, sekiranya kerajaan membenarkan pengundi bercuti lebih awal, Melaka sudah pasti membuat keputusan sama demi memudahkan urusan pengundi.

“Saya tunggu pengumuman rasmi daripada Perdana Menteri, ramai sudah tanya saya soalan ini sama ada dapat cuti atau tak khususnya bagi mereka yang duduk jauh dan perlu balik awal sehari mengundi.

“Kita mengundi hari Sabtu jadi mereka (pengundi) minta hari Jumaat diberikan cuti untuk balik lebih awal.

“Semalam (Rabu) juga saya bersama Perdana Menteri membincangkan perkara ini, apapun kita tunggu keputusan Kerajaan Persekutuan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis Penyerahan Projek Pembinaan Bangunan Baharu dan Lain-Lain Kemudahan di SJKT Ladang Jasin Lalang di sini, hari ini.

Hadir sama Exco Kerja Raya, Pengangkutan, Kemudahan Awam, Infrastruktur dan Pengurusan Banjir negeri, Datuk Rahmad Mariman; Exco Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan negeri, VP Shanmugam; Exco Kesihatan dan Anti Dadah negeri, Dr Muhamad Akmal Saleh serta Calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Jasin, Datuk Roslan Ahmad.

Turut hadir Pegawai Kewangan negeri Datuk Salhah Salleh; Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Melaka, Datuk Ir Ismail Abdul Rahman.

Sebelum ini Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata akan mempertimbangkan pemberian cuti khas sebelum hari pengundian bagi memudahkan pergerakan pengundi pada PRU15.

“Kita tunggu sahaja jika ada pengumuman daripada saya (cuti khas)… kita akan kaji. Sejak mula bubar, kita dah bincang perkara ini, cuma timing itu, Insya Allah, tunggulah apa pengumuman yang penting, yang mungkin banyak lagi,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

11126
Kongsi :
Previous post PRU15: Kepentingan kos. strategi, media sosial terhadap perang poster
Next post Lelaki timbul kekecohan mesyuarat parti ditahan
Ubah saiz-+=