Daging tetel penyedap bubur lambuk

Masa Membaca:1 Minit, 59 Saat

TANJUNG BIDARA 17 April. – Bubur lambuk Masjid al-Ehsan di Kampung Londang di sini, antara juadah terkenal dengan keenakannya hasil resepi diwarisi turun-temurun iaitu menggunakan daging cincang atau tetel.

Malah resepi itu dikekalkan hingga kini bagi memastikan kelazatan bubur lambuk dimasak tidak berubah untuk dinikmati penduduk.

Pengerusi masjid Datuk Abdul Mutallif Che Mat berkata, tetel tidak boleh dipisahkan daripada bubur lambuk yang dihasilkan di kampung itu sejak sekian lama dan ia tidak mungkin dilupakan generasi sekarang dan akan datang.

MOHD Fazar mengacau bubur lambuk yang mengekalkan resepi turun-temurun menggunakan tetel, daging dan tulang di Masjid al-Ehsan, Kampung Londang Masjid Tanah. Foto DIN AHMAD.

“Untuk memasak bubur lambuk hari ini kami guna tiga kilogram (kg) daging tetel yang dicampur ke dalam rencah lain seperti daging yang dihiris halus.

“Kami juga guna tulang lembu sebanyak tiga kg bagi menghasilkan bubur lambuk benar-benar enak dan menyelerakan,” katanya ditemui di masjid berkenaan hari ini.

Program memasak bubur lambuk itu dihasilkan melalui gotong-royong anak kariah kampung itu.

Sementara itu, Bilal masjid, Mohd Fazar Abdul Samad berkata, tetel sudah menjadi bahan wajib dalam pembuatan bubur lambuk kampung berkenaan.

ANAK kariah bergotong-royong memasak bubur lambuk sebelum mengagihkannya kepada anak kariah di Masjid al-Ehsan, Kampung Londang, Masjid Tanah.

“Kalau tidak ada tetel, bubur lambuk yang dibuat di kampung ini seolah-olah tidak lengkap dan tidak mampu membuatkan mereka yang memakannya tersenyum puas,” katanya.

Beliau berkata, pernah beberapa tahun lalu anak kariah yang bergotong-royong tidak memasukkan tetel dan tulang dalam bahan makanan itu dan ia menerima rungutan anak kariah.

Sementara itu, bubur lambuk yang siap dimasak itu kemudiannya diedarkan secara percuma kepada orang ramai yang lalu-lalang di hadapan masjid berkenaan dan kebanyakan mereka diberikan satu atau dua bungkus.

Kaedah pandu lalu digunakan bagi mengelakkan terlalu ramai anak kariah berkumpul di satu tempat yang menyebabkan kemungkinan jangkitan pandemik COVID-19.

Anak kariah, Mohd Kamal Sulaiman, 56, berkata beliau tidak mahu melepaskan peluang menikmati bubur lambuk yang dihasilkan di kampung berkenaan kerana bubur lambuk tetel yang lazat dan enak tidak ada di tempat lain.

“Saya gemar tetel yang sudah sebati dengan selera saya sejak kecil dan tiada tempat lain yang menyediakannya kecuali di Masjid al-Ehsan di kampung ini,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1021
Kongsi :
Previous post 438,220 individu sudah lengkapkan vaksinasi COVID-19
Next post JIM Melaka tahan 39 PATI dalam operasi bersepadu
Ubah saiz-+=