JIM Melaka tahan 39 PATI dalam operasi bersepadu

Masa Membaca:1 Minit, 43 Saat

KLEBANG 17 April. – Seramai 39 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Melaka dalam dua serbuan berasingan awal pagi tadi.

Timbalan Pengarahnya K. Vishnutharan berkata, Operasi Bersepadu membabitkan 45 anggotanya yang dibantu 20 anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), menyerbu dua penempatan warga asing di Pantai Klebang dan Pasar Borong Batu Berendam.

PEGAWAI dan anggota JIM memeriksa dokumen warga asing yang diperiksa. Foto ihsan JIM Melaka.

Katanya, pada pemeriksaan pertama sekitar jam 1.15 pagi seramai 132 warga asing diperiksa di sebuah penempatan pekerja asing di lokasi bagi cadangan pembangunan hotel dan kondominium.

“Hasil pemeriksaan, pihak JIM menahan 31 PATI yang tiada dokumen sah dan telah menetap melebihi masa ditetapkan.

“Mereka terdiri daripada 22 lelaki warga Bangladesh, enam lelaki Pakistan dan tiga wanita Indonesia ditahan mengikut Akta Imigresen 1959/63,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Vishnutharan berkata, pemeriksaan kedua sekitar jam 4 pagi pihaknya menahan lapan lagi PATI daripada 34 warga asing yang diperiksa di Pasar Borong di sini.

SEORANG PATI yang ditahan dan diperiksa di Pasar Borong Batu Berendam. Foto ihsan JIM Melaka.

Katanya, individu ditahan itu membabitkan enam lelaki Indonesia dan dua lelaki Myanmar yang disyaki melakukan kesalahan di bawah akta sama.

“Biarpun ada PATI cuba melarikan diri ke kawasan pantai dan belukar berhampiran dengan memanjat pagar ketika serbuan, percubaan itu berjaya digagalkan dan semua mereka yang berusia lingkungan 23 hingga 50 tahun dihantar ke Depot Sementara JIM Melaka untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

SEBAHAGIAN PATI yang diperiksa di penempatan cadangan pembangunan hotel dan kondominium di Pantai Klebang. Foto ihsan JIM Melaka.

Pada masa sama, pihaknya turut menasihatkan PATI di negeri ini mengambil peluang untuk pulang ke negara asal mereka secara teratur dengan menyertai program Rekalibrasi Pulang (RP) yang sedang dijalankan pihaknya di seluruh negara sebelum 30 Jun depan.

“JIM Melaka sentiasa memantau lokasi ‘hotspot’ yang menjadi tumpuan warga asing terutama penempatan haram,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

868
Kongsi :
Previous post Daging tetel penyedap bubur lambuk
Next post Mangsa kebakaran terus terima bantuan
Ubah saiz-+=