Dalang kes sisa toksik sedang dicari

Masa Membaca:1 Minit, 22 Saat

PANTAI KUNDOR 22 Okt. – Mesyuarat khas memburu dalang di sebalik isu sisa toksik di Kampung Balik Bukit, Tanjung Kling akan dilaksanakan dalam masa terdekat.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Kundor Datuk Nor Azman Hassan berkata, wakil penduduk setempat bersama Jabatan Alam Sekitar (JAS) serta syarikat penapisan minyak  terlibat turut akan dipanggil dalam mesyuarat berkenaan.

“Kita panggil mesyuarat untuk tahu siapa dalang sebenar masalah ini. Selain JAS dan syarikat minyak, kita juga akan panggil wakil penduduk kampung bagi mengetahui serba sedikit mengenai hujung pangkal masalah berkenaan untuk menyelesaikannya secepat mungkin.

ADUN Pantai Kundor Datuk Nor Azman Hassan

“Benda ini menjadi kerisauan semua kerana ia bukan sahaja mendatangkan bahaya, tetapi juga mengeluarkan bau kimia yang tidak menyenangkan dan dikhuatiri menjejaskan kesihatan penduduk,” katanya yang ditemui ketika mengadakan lawatan ke tapak arang batu di Pelabuhan Tanjung Bruas, hari ini.

Mengulas lanjut Nor Azman berkata, pihaknya turut menzahirkan kebimbangan terhadap masalah berkenaan memandangkan kawasan tapak haram yang menyimpan sisa toksik itu tidak dipantau dan dikawal sehingga hari ini.

Jelasnya, situasi itu dikhuatiri mengancam penduduk setempat terutama, jika ada tangan-tangan ‘nakal’ yang cuba mencetuskan sesuatu yang tidak baik di kawasan berkenaan.

“Kita tengok sisa toksik ini masih tidak bergerak lagi. Jadi kita harap ia dipandang serius dan dapat diselesaikan secepat mungkin,” katanya lagi.

Terdahulu, Melaka Hari Ini (MHI) melaporkan pihak JAS sudah mengenal pasti beberapa pihak yang disyaki terlibat dalam sindiket penyimpanan lebih 900 tong yang mengandungi sisa toksik dan minyak di kawasan berkenaan.

Difahamkan, kertas siasatan untuk kes berkenaan sudah dibuka yang mana proses itu bakal dijalankan mengikut prosedur tertentu sebelum menentukan pertuduhan kepada dalang sebenar kes berkenaan.

Views:

433
Kongsi :
Previous post Melaka tangguhkan perarakan Maulidur Rasul
Next post COVID-19: Tiga kes baharu termasuk Kluster Umboo di Melaka
Ubah saiz-+=