Dapur baharu untuk pengusaha makanan kecil – Exco

Masa Membaca:1 Minit, 15 Saat

AYER KEROH 30 Mei – Pusat Kegiatan Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) Serkam, bakal dilengkapi kemudahan ruang dapur yang lebih besar dan peralatan memasak terkini menjelang hujung tahun ini.

Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri, Dr. Muhamad Akmal Saleh berkata, inisiatif itu bakal memberikan lebih keselesaan kepada pengusaha makanan kecil-kecilan.

Jelasnya, kelengkapan baharu itu nanti juga bakal membantu pengusaha meningkatkan jumlah pengeluaran dan kualiti produk masing-masing.

Katanya, cadangan itu adalah hasil lawatan dan perjumpaan bersama pengusaha makanan berkenaan yang sebelum ini tidak mampu memenuhi permintaan tinggi daripada pelanggan berikutan ruang dapur selain kemudahan memasak dimiliki terhad.

“Antara kekangan mereka ini adalah membabitkan peralatan memasak yang sebelum ini bersaiz kecil, jadi tidak boleh siapkan tempahan dalam jumlah besar dalam satu-satu masa.

“Kekangan itu menyebabkan ada dalam kalangan pengusaha makanan terpaksa menolak tempahan, kapasiti ketuhar tidak mampu tampung permintaan.

“Jadi ini membantutkan perkembangan perniagaan mereka, insya-Allah dengan kerjasama agensi seperti KEMAS dan jabatan kerajaan yang lain, kita akan mewujudkan ‘common kitchen’ di Pusat Kegiatan KEMAS Serkam untuk pengusaha makanan kecil ini,” katanya.

Dr. Muhamad Akmal berkata, pihaknya berusaha mendapatkan ketuhar dan dapur memasak yang lebih besar bagi membantu meningkatkan jumlah pengeluaran pengusaha makanan terbabit.

“Jika ada ketuhar yang besar, dapur besar, ‘mixer’ (mesin pembancuh) besar dan canggih, jadi mereka
boleh datang untuk guna, hasilkan makanan mereka dalam kapasiti lebih banyak.

“Peniaga rumah tetapi kita berikan kelengkapan sama seperti kilang makanan dan ianya adalah sumbangan secara percuma,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1659
Kongsi :
Previous post KITARecycle: Hab pandu lalu pertama di Melaka diperkenalkan
Next post Tuah pelajar cuba nasib cipta video bawa pulang RM1,000
Ubah saiz-+=