KITARecycle: Hab pandu lalu pertama di Melaka diperkenalkan

Masa Membaca:2 Minit, 15 Saat

AYER KEROH 30 Mei – Pembinaan hab Pusat Pandu Lalu (Drive-thru) KITARecycle pertama di negeri ini mampu memperkasakan lagi kesedaran amalan kitar semula dalam kalangan masyarakat.

Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin berkata, kempen kitar semula yang diperkenalkan SWM Environment Sdn Bhd (SWM Environment) sejak 2018 sekali gus membantu kebergantungan Tapak Pelupusan Sisa Pepejal Sanitari Sungai Udang yang kini semakin kritikal akibat mencatat pertambahan sisa sampah saban tahun.

“Hab Pusat Pandu Lalu adalah salah satu daripada tiga komponen utama di bawah program KITARecycle SWM Environment di samping Pusat Komunikasi, Pendidikan dan Kesedaran Awam (CEPA) dan Kenderaan Bergerak KITARecycle yang akan dilaksanakan secara berperingkat di negeri Melaka.

“Kita berharap kerjasama SMW Environment bersama semua pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini mampu memperluaskan hub ini ke seluruh parlimen di Melaka bagi memastikan amalan pengasingan sisa pepejal di punca ini dilaksanakan menyeluruh bermula dari rumah lagi.

“Keadaan kawasan pelupusan sisa pepejal di Melaka semakin kritikal jadi sementara kita menunggu projek Waste to Energy (WTE) ini disiapkan, program-program kempen seperti inilah yang membantu kebergantungan itu dan perlu diterapkan dari amalan seharian demi kepentingan bersama,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Hab Pusat Pandu Lalu (Drive-Thru) KITARecycle di Taman Botanikal, di sini hari ini.

Hadir sama, Timbalan Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Zulkiflee Mohd Zin, Pengarah SWCorp Negeri Melaka, Khairuladha Ab Mutalib dan Pengurus Besar Korporat SWM Environment, Mohd Norlisam Mohd Nordin.

photo_2023-05-30_14-00-07Sementara itu, Mohd Norlisam berkata, hub pandu lalu yang diperkenalkan itu akan memudahkan kira-kira 4,000 pemegang akaun aplikasi KITARecycle di Melaka menjalankan aktiviti kitar semula secara layan diri.

Menurutnya, kempen KITARecycle menerusi pelbagai pendekatan program dianjurkan diperkenalkan sejak 2018 telah berjaya mengutip 140 tan sisa pepejal yang berjaya dikitar semula di Melaka.

“Hab kitar semula diperkenalkan kali ini menggunakan sistem pengesanan kod QR sebagai fungsi utama dalam amalan itu di mana pengguna perlu meletakkan kod tersebut pada bungkusan barangan kitar semula sebelum dihantar ke pusat pandu lalu.

Katanya, langkah itu bagi memastikan mata ganjaran yang diperoleh secara automatik akan dimuat naik kedalam aplikasi pengguna.

“Projek ini telah diperkenalkan di Seremban, Negeri Sembilan sebagai projek rintis pada tahun lalu dan ia akan diperluaskan ke Melaka, dan Johor.

“Untuk di negeri ini kita menyasarkan tambahan lagi dua pusat ini dibina di Melaka sekurangnya sebelum hujung tahun kerana beberapa pendekatan perlu dinilai membabitkan kajian lokasi dan sebagainya yang kebiasannya mengambil tempoh tiga hingga enam bulan.

“Kita perlu menilai juga beberapa risiko lain berikutan hub ini diletakkan di kawasan awam dan berkemungkinan akan berdepan dengan isu lain termasuk risiko pembuangan sisa haram,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2922
Kongsi :
Previous post Nyamuk berwolbachia bantu kawal denggi
Next post Dapur baharu untuk pengusaha makanan kecil – Exco
Ubah saiz-+=