The Prayer Mat buka cawangan di Dataran Pahlawan: Dari ‘Haramain’ ke bumi Melaka

Masa Membaca:2 Minit, 42 Saat

BANDA HILIR  25 September – The Prayer Mat Sdn Bhd terus melebarkan sayapnya dalam perniagaan sejadah asli dari Madinah apabila membuka cawangan kesepuluhnya di Melaka.

Syarikat yang mula bertapak pada 2021 itu, memilih Dataran Pahlawan Melaka Megamall sebagai lokasi perniagaan baharu disebabkan keunikan negeri kecil ini yang terkenal dalam sektor pelancongan, selain mudah diakses pelanggan dari selatan Semenanjung Malaysia.

Pengurus Besar The Prayer Mat Sdn Bhd Siti Fatimah Mohd Nasaruddin, 40, berkata, menariknya outlet di Melaka menampilkan konsep yang berbeza berbanding outlet-outlet sebelum ini iaitu konsep klasik tradisional bersama motif Islamik sebagai daya tarikan untuk pelanggan.

WhatsApp Image 2023-09-24 at 5.13.59 PM (1)
WARGA kerja The Prayer Mat Melaka bergambar di hadapan outlet ke-10 yang dibuka di Dataran Pahlawan Melaka Megamall.

Katanya, seperti kebanyakan outlet, sejadah atau tikar sembahyang menjadi produk utama syarikat itu dengan menampilkan beberapa variasi dan pelbagai rekaan menarik yang dihasilkan terus dari kilang di Madinah.

Katanya lagi, kesemua sejadah di The Prayer Mat juga dijual pada harga mampu milik iaitu serendah RM45 hinggalah RM359 bagi sejadah premium.

“Terdapat tiga ketebalan sejadah yang dijual di sini iaitu 4 milimeter (mm), 6 mm dan 8mm dengan beberapa saiz seperti saiz mini yang sesuai untuk kanak-kanak dan ‘travel’; saiz medium sesuai untuk kaum adam membawanya ketika solat Jumaat, manakala saiz standard pula sesuai untuk di rumah.

“Selain itu, kita juga menyediakan sejadah buatan khas (custom) yang mana jika ada syarikat korporat berminat untuk berkolaborasi bersama The Prayer Mat, mereka boleh menyediakan rekaan dan seterusnya sejadah itu diproses di kilang di Madinah,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

WhatsApp Image 2023-09-24 at 5.14.00 PM
SITI Fatimah menunjukkan antara pewangi dari Madinah yang dijual di outlet The Prayer Mat Melaka.

Selain sejadah, Siti Fatimah berkata, kedai yang beroperasi di Lot FG06A Dataran Pahlawan itu juga menjadi outlet pertama menjual pewangi istimewa dari bumi Mekah dan Madinah.

Jelasnya, terdapat tiga jenis pewangi iaitu ‘mist’ untuk badan, ‘freshener’ untuk fabrik dan pati attar.

“Ramai yang tanya kenapa sejadah The Prayer Mat berbau wangi sama seperti bau-bauan di tanah suci, rahsianya adalah pewangi yang kita bawa dari Madinah yang kini dibotolkan dan dijual di Melaka.

“Apabila pewangi ‘freshener’ disembur pada sejadah atau tempat sujud, bau wangian itu akan membuatkan kita terimbau-imbau kenangan di tanah suci dan kepada yang belum menjejakkan kaki ke sana, inilah wangian yang akan membuatkan anda merasai pengalaman itu sesuai dengan tagline kami ‘Seumpama Di Haramain’,” katanya.

WhatsApp Image 2023-09-24 at 5.14.00 PM (1)
ANTARA sejadah Madinah ‘best-seller’ di The Prayer Mat

Menurut Siti Fatimah, selain Lembah Klang, Kuantan dan Melaka, The Prayer Mat juga bakal membuka cawangan ke-11 di Terengganu dalam masa terdekat.

Untuk jangka masa panjang, ujarnya, The Prayer Mat menyasarkan akan membuka sekurang-kurangnya 30 outlet di seluruh negara.

“Jadi kepada orang Melaka, jangan lepaskan peluang mendapatkan sejadah, pewangi, tasbih dan pelbagai lagi produk The Prayer Mat di Dataran Pahlawan Melaka Megamall (East Entrance) yang akan dibuka setiap hari pada jam 10 pagi hingga 10 malam.

“Sempena pembukaan ini, kami akan menawarkan promosi 15 peratus sehingga hujung bulan ini, selain pelanggan terawal juga akan menerima pewangi dari Madinah secara percuma sementara stok masih ada,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2986
Kongsi :
Previous post Kontraktor jangan takut bina RMR
Next post STRIDE tarik minat orang muda kuasai STEM
Ubah saiz-+=