STRIDE tarik minat orang muda kuasai STEM
DURIAN TUNGGAL 25 September – Institut Penyelidikan Sains & Teknologi Pertahanan (STRIDE) mampu memainkan peranan dalam usaha menarik minat lebih ramai anak muda meneroka bidang Pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Utama Mohamad Hasan berkata, tawaran itu terbuka kepada ahli Pertubuhan Hal Ehwal Wanita dan Keluarga Malaysia (HawaMalaysia).
Mohamad yang juga penasihat HawaMalaysia berkata, STRIDE ditubuhkan kementerian itu bagi mengembangkan lagi tekonologi pertahanan negara dilihat amat sesuai untuk membantu memperkasakan lagi bidang STEM khusus dalam kalangan anak muda.
“Ada lebih 100 saintis di STRIDE, mereka berupaya menghasilkan bom, boleh uji bom dan pelbagai lagi. Tetapi STRIDE ini bergiat secara senyap kerana banyak melibatkan teknologi pertahanan.
“Jika ingin bekerjasama kita boleh minta bagaimana STRIDE ini beriringan bersama HawaMalaysia,” katanya pada sidang media selepas merasmikan majlis penutup Seminar Pembudayaan STEM Bagi Memperkasa Masyarakat MADANI di Dewan Canselor Universiti Teknikal Melaka Malaysia (UTeM), di sini, hari ini.
Hadir sama, Pengerusi HawaMalaysia, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil, Penyelaras HawaMelaka, Datuk Haryaty Hamdzah, Timbalan Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Rosli Abdullah serta tetamu lain.
Karnival berlangsung tiga hari bermula hari ini dimulakan dengan pameran teknologi membabitkan bidang STEM di negara ini.
Pada majlis sama Mohamad turut menyaksikan satu pemeteraian Surat Niat (LOI) antara HawaMelaka, Pusat STEM UTeM, Pusat STEM Universiti Malaya dan Syarikat Protection Technologies (M) Sdn. Bhd. yang disaksikan tetamu kehormat.
Terdahulu, program itu dimulakan dengan sesi seminar wakil beberapa syarikat antarabangsa yang menghasilkan teknologi pertahanan menerusi STEM.
Ia disusuli dengan Forum bertajuk Membendung Gelombang Jenayah: Mewujudkan Komuniti Lebih Selamat disampaikan oleh Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayub Khan Mydin Pitchay sebagai Panel Pertama dan Panel Kedua Pensyarah Pusat STEM Universiti Malaya (UM), Ir. Dr. Mas Sahidayana Mokhtar diikuti Moderator, Pensyarah UTeM, Prof Madya Dr. Sharifah Sakinah Syed Ahmad.
Dalam pada itu, Mohamad berkata, HawaMalaysia mampu menjadi jambatan penghubung bagi meningkatkan keyakinan generasi muda untuk kembali meminati bidang STEM di negara ini.
Katanya, langkah berterusan perlu dilaksanakan bagi memastikan teknologi baharu yang dihasilkan anak tempatan menepati permintaan pasaran.
“Sekarang ini ramai yang tidak bekerja, namun dalam kabinet pula kita dapati industri sebenarnya dahagakan tenaga kerja. Apa yang dipelajari bukan kehendak industri. Pasaran mahu benda lain tapi kita buat benda lain.
“Jadi kita kena buat padanan dengan industri, kita kena buat latihan industri dan mesti bekerjasama dengan industri termasuk syarikat multinasional serta agensi kerajaan supaya universiti atau sekolah mengeluarkan produk yang boleh dipasarkan,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.