Hawa tekad perkasa STEM di Melaka

Masa Membaca:1 Minit, 52 Saat

DURIAN TUNGGAL 26 September – Pertubuhan Hal Ehwal Wanita dan Keluarga Malaysia (Hawa) Melaka akan mengorak langkah untuk terus memastikan pendedahan Pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) diperkasakan di negeri ini.

Penyelaras Hawa Melaka, Datuk Haryaty Hamdzah berkata, antara tumpuan utama pihaknya ialah membudayakan STEM di peringkat institusi pengajian tinggi (IPT) dan sekolah-sekolah di seluruh negeri ini.

Selain itu, katanya, pemerkasaan STEM akan turut didedahkan di peringkat komuniti iaitu membabitkan keluarga dan masyarakat.

“Ini merupakan langkah pertama Hawa Melaka untuk memastikan komuniti dan keluarga ini mampu menghasilkan anak yang mahir dalam bidang STEM supaya ia mampu menjadi modal insan dan seterusnya mencipta kebolehpasaran dalam industri berteknologi tinggi.

“Penglibatan pelajar dalam STEM sejak kebelakangan ini semakin menurun dan sebagai langkah awal kita mencadangkan untuk mewujudkan Pusat STEM di Melaka kerana inilah platform untuk kita suarakan dalam pelbagai kelompok termasuk badan bukan kerajaan (NGO) mahupun badan politik.

“Jadi, kesedaran itu perlu dipupuk, di mana ia bukan hanya dalam kalangan ahli akademik tetapi perkara ini perlu dibangunkan secara bersama dalam institusi keluarga itu sendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini selepas menghadiri Seminar Pembudayaan STEM Bagi Memperkasa Masyarakat Madani di Dewan Canselor Universiti Teknikal Melaka Malaysia (UTeM), di sini, semalam.

Majlis perasmian penutup seminar berkenaan telah disempurnakan dirasmikan Menteri Pertahanan merangkap Penasihat Hawa Datuk Seri Utama Mohamad Hasan.

Hadir sama, Pengerusi Hawa Malaysia, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil; Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayub Khan Mydin Pitchay; Timbalan Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Rosli Abdullah serta tetamu lain.

photo1695644971
Pameran robotik pada Seminar Pembudayaan STEM Bagi Memperkasa Masyarakat Madani di Dewan Canselor, Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Durian Tunggal, Melaka. Foto: MR. AZLI

Seminar berkenaan dianjurkan sempena Karnival STEM Peringkat Kebangsaan yang diadakan pada 25 hingga 27 September 2023.

Dalam pada itu, Haryaty berkata, dalam usaha memperkasa STEM, pendidikan keselamatan dan langkah menghindari masyarakat daripada jenayah teknologi turut menjadi fokus utama pihaknya.

“Ini merupakan satu sinergi untuk turut kita fikirkan kepentingan rakyat dalam permasalahan yang melanda terhadap perkembangan teknologi hari ini.

“Dalam soal keselamatan, perkara ini penting untuk diberikan kesedaran kerana kebanyakan isu yang berlaku kebanyakkannya berkaitan dengan teknologi penggunaan gajet,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1636
Kongsi :
Previous post STRIDE tarik minat orang muda kuasai STEM
Next post Melaka teroka pemindahan teknologi pengurusan jalan di UK
Ubah saiz-+=