Sorting by

×

Datang awal pun parkir penuh

Masa Membaca:1 Minit, 42 Saat

AYER KEROH 9 Jun – Jumlah petak parkir yang didakwa tidak mencukupi dijadikan alasan oleh segelintir pengguna yang meninggalkan kenderaan mereka di simpang tiga berhampiran Wisma Persekutuan kerana mempunyai urusan atau bertugas di bangunan itu.

Roslinda Jaafar, 35, berkata meskipun tiba seawal jam 8 pagi dia masih kerap berdepan kesukaran untuk mendapatkan petak parkir untuk kenderaannya.

ROSLINDA

Berikutan itu dia yang tidak mempunyai pilihan terpaksa meninggalkan kenderannya di bahu jalan meskipun sedar pelbagai risiko bahaya yang perlu ditanggung.

“Sudah dua tahun saya lalui perkara ini. Petak parkir penuh tidak mampu tampung jumlah kenderaan yang tinggi mahu atau tidak saya terpaksa parkir di bahu jalan.

“Tidak dinafikan saya bimbang akan dikenakan saman oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) kerana parkir kenderaan dikawasan tidak sepatutnya.

“Malah kami juga bimbang berlaku kerosakan jika berlaku pergeseran antara kenderaan kerana kawasan ini padat. Pada waktu petang pula kena berhati-hati ketika keluar simpang risau jika ada motosikal atau kenderaan lain muncul tiba-tiba,” katanya.

KEADAAN simpang tiga berhadapan Wisma Persekutuan

Menurutnya, ada juga dalam kalangan pengguna jalan raya yang masih keliru berhubung status jalan berkenaan samada sehala atau sebaliknya.

Berikutan itu dia berharap pihak berkenaan memasang lebih banyak papan tanda sebagai panduan kepada pengguna.

Sementara itu Muhammad Effendi Kattni, 39, berharap pihak berkenaan dapat menyediakan lebih banyak tapak parkir bagi memudahkan orang ramai datang berurusan di Wisma Persekutuan.

MUHAMMAD Effendi

“Bangunan ini adalah pusat operasi banyak jabatan kerajaan dan menjadi tumpuan orang ramai mahu menyelesaikan masalah peribadi dan keluarga.

“Memang parkir di bahu jalan menggangu lalu lintas, tapi kita minta sediakan satu tapak parkir kenderaan orang awam.

“Jalan di depan ini kecil, tempat parkir pula tiada. Pada waktu sarapan pagi atau balik kerja memang penuh dan padat, kalau keluar simpang kena hati-hati,” katanya.

Muhammad Effendi berharap penyelesaian berhubung perkara itu disegerakan bagi mengelakkan berlaku sebarang kejadian tidak diingini.

 

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

960
Kongsi :
Previous post KM ketuai delegasi Melaka lakukan kunjungan hormat keatas Gubernur Riau
Next post Tajuk-tajuk Utama Akhbar: Khamis, 9 Jun 2022
Ubah saiz-+=