Dataran Orang Kampung ‘cahaya’ pelancongan Merlimau

Masa Membaca:2 Minit, 12 Saat

MERLIMAU 29 Januari – Dataran Orang Kampung, di sini mampu menjadi platform utama mempromosi sektor pelancongan untuk menarik lebih ramai kedatangan pelancong ke kawasan Merlimau.

Ahli Dewan Undangan negeri (Adun) Merlimau, Dr. Muhamad Akmal Saleh berkata, limpahan lampu neon yang dibangunkan antara tarikan utama dataran itu untuk dijadikan lokasi tumpuan pelancong selain beberapa lokasi lain di kawasan berkenaan.

Katanya, usaha memperkasa pelancongan luar bandar khususnya menarik pelancong ke Merlimau sedang dirangka pihaknya sebagai langkah awal mempromosi sektor itu sempena Tahun Melawat Melaka 2024.

“Untuk jadikan Merlimau sebagai destinasi pelancongan utama di Melaka kita sedang siapkan pemetaan dan kalendar pelancongan Merlimau yang dilengkapi dengan pelbagai lokasi menarik dari siang sampai ke malam untuk pelancong yang datang ke DUN ini.

“Dalam tempoh tiga bulan lagi kita akan laksanakan perkara ini termasuk menyiapkan aplikasi MyMerlimau agar ia mampu menjadi platform pelancongan Merlimau yang dilengkapi dengan tawaran lokasi menarik, produk pelanconan dan kedai-kedai makan yang menawarkan harga yang murah kepada pelancong.

“Usaha ini amat strategik dan sejajar dengan kawasan ini yang dekat dengan Pulau Besar dan tiga jajaran pulau yang lain sebagai Taman Laut di Melaka.

“Ini sudah pasti akan memberi limpahan kepada kedatangan pelancong, tujuan saya apabila Merlimau terkenal nanti ia sudah pasti akan memberi limpahan ekonomi kepada penduduk setempat,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Program Merlimau Bercahaya dan Merlimau Berpeluh 5.0 dirasmikan Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali.

9E1264A7-32DD-43BC-A7F4-CA53D530ECBF
Exco Kesihatan dan Anti Dadah negeri merangkap Adun Merlimau, Dr. Muhamad Akmal Saleh. Foto Iqmal Haqim Rosman

Terdahulu, acara diadakan itu menerima sambutan menggalakkan apabila kira-kira 3,000 pengunjung membanjiri dataran itu bagi menyaksikan program pelancaran terbabit.

Malah, kira-kira 2,000 pengunjung turut menyertai larian sempena program Merlimau Berpeluh yang memasuki edisi kelima dianjurkan di kawasan DUN berkenaan.

Mengulas lanjut, Dr. Muhamad Akmal berkata, pelbagai tarikan lain akan diperbaharui di Dataran Orang Kampung dalam masa terdekat ini antaranya tarikan Taman Skatepark berbumbung yang dibuka buat orang awam pada setiap masa kini hampir 80 peratus siap bakal dilancarkan pada bulan hadapan.

Selain itu katanya, kerja menaik taraf dataran yang dilengkapi lampu neon menelan kos sebanyak RM315,000 daripada Kerajaan Pusat itu turut menerima perhatian Kerajaan Negeri apabila peruntukan tambahan sebanyaj RM20,000 bakal disalurkan.

Ujarnya, peruntukan tambahan itu bagi kerja-kerja pemasangan lebih banyak lampu neon di setiap pokok mampu menambah tarikan di dataran itu.

“Malah kawasan padang futsal di dataran ini juga akan dinaik taraf kepada padang yang lebih kondusif dilengkapi bumbung bagi meningkatkan lagi pelbagai aktviti menarik buat orang muda mahupun berusia yang datang ke dataran ini,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

3498
Kongsi :
Previous post Minyak masak peket RM2, Telur jadi rebutan di Melaka Agro Market
Next post Program baharu fokus pembangunan belia akan diumumkan dalam masa terdekat
Ubah saiz-+=