Sorting by

×

Dataran Pahlawan lokasi Pavilion TMM2024

Masa Membaca:1 Minit, 30 Saat

AYER KEROH 15 September – Padang Dataran Pahlawan Melaka Megamall di Banda Hilir, dipilih sebagai lokasi Pavilion Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024).

Mengumumkan perkara itu, Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, penggiat industri pelancongan tempatan amat dialu-alukan untuk menganjurkan pelbagai acara menarik pada setiap bulan di lokasi terbabit.

“Penggiat industri boleh memilih 12 konsep yang telah ditetapkan bagi penganjuran acara pelancongan di pavilion tersebut.

“Antara konsep dan tema ditampilkan adalah Malaysia Madani, 7 Wonders of Melaka, Back To History, Kids Maniac, Indahnya Islam, Let’s Fit Together, Green Day, Our Heritage Our Pride, Everlasting Blooms, We Care For You, Gastronomy dan Year End Sales Festival,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Promosi TMM2024 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini hari ini.

Hadir sama, Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wira Zaidi Johari serta Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana, Datuk Rais Yasin.

Turut hadir, Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman serta timbalannya, Datuk Zaidi Attan.

Berkongsi perkembangan terkini persediaan TMM2024, Ab Rauf berkata, sebanyak 70 acara dengan 32 acara pelancongan utama telah disusun sepanjang tahun hadapan.

Menurutnya, antara acara utama pada TMM2024 adalah Pesta Gendang Nusantara 2024, dari 1 hingga 6 Januari dijadualkan berlangsung di Dataran Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB).

Jelasnya turut dijadualkan adalah Pengkisahan Detik Kemerdekaan Bersama Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj pada 20 Februari di Banda Hilir dan Pertandingan Memancing Ikan Air Tawar pada 25 Februari.

“Sementara itu dari 2 hingga 4 Mac pula akan diadakan Kejohanan Muaythai Antarabangsa Melaka di Menara Taming Sari; Malakka Dutch Week pada 22 hingga 28 April dan Karnival Motosport Melaka pada 10 hingga 12 Mei,” katanya.

 

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1682
Kongsi :
Previous post Panorama Melaka tingkat kualiti pengangkutan awam
Next post Wajah baharu Makam Tun Teja
Ubah saiz-+=