Panorama Melaka tingkat kualiti pengangkutan awam

Masa Membaca:1 Minit, 35 Saat

AYER KEROH 15 September – Panorama Melaka Sdn. Bhd. melancarkan aplikasi ETA GPS Journey Planner Cashless dan Bus On Demand ‘Kumpool Kasturi’ sebagai usaha meningkatkan lagi kualiti perkhidmatan pengangkutan awam Negeri Melaka.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, usaha itu juga bertujuan untuk menyediakan sistem pengangkutan awam yang sistematik untuk rakyat Negeri Melaka, selain mampu membantu proses penyuraian trafik di kawasan tumpuan pelancong terutama sekitar Banda Hilir.

Ab Rauf berkata, pelaksanaan inisiatif itu juga memberikan manfaat kepada pelancong singgah ke negeri ini terutama sepanjang Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024) tidak lama lagi.

“Pelancaran dua produk ini mampu menggalakkan orang ramai untuk menggunakan perkhidmatan awam kerana ia bersifat mesra pengguna, selain itu penumpang boleh merancang perjalanan mereka.

“Aplikasi Journey Planner ini akan memaparkan maklumat mengenai lokasi menarik dan restoran sepanjang laluan bas. Selain itu aplikasi ini juga berfungsi sebagai platform pengiklanan yang mampan,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Program Promosi TMM2024 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, hari ini.

Pada majlis sama turut diadakan Majlis Menandatangani Perjanjian Rakan Media Rasmi TMM2024 antara Kerajaan Negeri dan Media Prima Berhad.

Hadir sama, Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wira Zaidi Johari serta Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana, Datuk Rais Yasin.

Turut hadir, Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman serta timbalannya, Datuk Zaidi Attan.

Mengulas lanjut, Ab Rauf turut memaklumkan perkhidmatan Kumpool Kasturi diperkenalkan Panorama Melaka akan menjadi bas pengantara dalam kawasan Bandaraya Melaka berkonsepkan ‘on demand’.

Menurut Ab Rauf, perkhidmatan itu diperkenalkan oleh Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) dengan kadar tambang lebih berpatutan.

“Esok bas Kumpool Kasturi ini akan bermula operasi untuk menghantar pengunjung ke kawasan Zon Bebas Kenderaan.

“Bagi permulaan lapan bas disediakan, perkhidmatannya pula membabitkan radius tujuh kilometer daripada kawasan Zon Bebas Kenderaan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2213
Kongsi :
Previous post Nahas pesawat di Elmina: Tiada bukti ketidakupayaan juruterbang jadi punca nahas – Laporan awal AAIB
Next post Dataran Pahlawan lokasi Pavilion TMM2024
Ubah saiz-+=