Datuk Saiful lepas jawatan CEO Melaka United

Masa Membaca:58 Saat

KEJUTAN buat pasukan Melaka United FC (MUFC) selepas Ketua Pegawai Eksekutifnya (CEO) Datuk Saiful Mat Sapri melepaskan jawatannya berkuatkuasa hari ini, menurut sumber portal Berita Harian sebentar tadi.

Keputusan tersebut dimaklumkan dalam pertemuan bersama pengurusan MUFC di Ayer Keroh, Melaka petang tadi.

“Memang saya meletakkan jawatan untuk memberi tumpuan kepada perniagaan yang selama ini saya abaikan.

“Jadi inilah masa terbaik buat saya untuk membuat keputusan selepas melihat MUFC kini sudah kembali stabil dari semua aspek,” jelas Saiful.

Terdahulu, Ketua Menteri yang juga Presiden Persatuan Bolasepak Melaka United (MUSA), Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali menerusi satu entri pada akaun Facebook miliknya memaklumkan mengenai perjumpaan bersama pengurusan MUFC di pejabatnya di Ayer Keroh, hari ini.

Selain Saiful, pertemuan itu turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif Kenteam Sdn Bhd, Datuk Seri Justin Lim dan Naib Presiden MUSA, Datuk Sazali Muhd Din.

“Pertemuan ini cukup penting dalam usaha memperkukuhkan lagi pasukan MUFC yang menjadi nadi kebanggaan kita, seterusnya memperbaiki kedudukan MUFC dalam saingan Liga Super,” kata Sulaiman.

Saiful menjawat jawatan selaku Bendahari Kehormat MUSA sebelum dilantik sebagai CEO MUFC pada Disember lalu selepas pasukan berkenaan melengkapkan proses penswastaan kelab.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1769
Kongsi :
Previous post Melaka rekod kluster baharu, Kluster Kampung Kemuning
Next post Justin pangku tugas CEO Melaka United FC
Ubah saiz-+=