Daun ketum RM 153,000 terapung di laut

Masa Membaca:1 Minit, 21 Saat

KUALA PERLIS 27 Mei – Zon Maritim Kuala Perlis telah merampas 58 bungkusan plastik berwarna hitam dipercayai mengandungi daun ketum bernilai RM 153,000 di kedudukan 4.5 batu nautika daripada barat laut pantai Kuala Sanglang, Perlis pada jam kira-kira 11.15 pagi, kelmarin.

Pengarah Zon Maritim Kuala Perlis, Komander Maritim Mohd Hashim Mat Zain berkata, rampasan dibuat hasil risikan dan intipan berkaitan sindiket tempatan yang melakukan aktiviti menyeludup keluar daun ketum ke negara jiran.

Berikutan itu, Zon Maritim Kuala Perlis mengatur gerak aset laut beserta pasukan operasi ke lokasi bagi melakukan pemantauan dan pengawasan di lokasi berkenaan.

Setiba di lokasi, anggota bot ronda menemui 58 bungkusan plastik hitam disyaki daun ketum terapung di laut dengan anggaran berat lebih kurang 850 kilogram bernilai RM 153,000 dipercayai cuba diseludup ke negara jiran.

BUNGKUSAN mengandungi daun ketum ditemui terapung di laut. Foto Facebook Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia

Modus operandi penyeludupan keluar daun ketum ke negara jiran yang dilakukan suspek adalah sama seperti tangkapan sebelum ini, iaitu menggunakan bot fiber enjin sangkut menuju ke sempadan Thailand untuk dipindah ke bot-bot nelayan Thailand di sempadan perairan Malaysia-Thailand.

Semua hasil rampasan dibawa masuk ke jeti Zon Maritim Kuala Perlis untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat bagi tindakan lanjut.

Kes disiasat di bawah Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952 kerana penyalahgunaan ketum termasuk mengimport, menjual, memproses dan lain-lain berkaitan bahan tersebut.

Jika disabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda tidak lebih daripada RM 10,000 atau penjara tidak lebih empat tahun atau kedua-duanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1223
Kongsi :
Previous post 6,000 beraya di Rumah Terbuka Aidilfitri DUN Serkam bersama PBT
Next post Kanak-kanak perempuan maut dilanggar bas sekolah di Sepang
Ubah saiz-+=