De Paula tekad bawa Melaka FC ke puncak

Masa Membaca:1 Minit, 22 Saat

KOTA LAKSAMANA 26 Februari – Pemain naturalisasi negara, Guilherme de Paula memasang tekad untuk membantu Melaka kembali ke saingan Liga Super musim 2024.

Beliau yang pernah menyarung jersi skuad kebangsaan selaku penyerang menyatakan kesediaan untuk kembali beraksi dalam kesebelasan utama dan mencetak gol bersama Melaka FC.

“Walaupun ini cabaran baharu untuk saya beraksi di Liga M3, tetapi ia perkara biasa kerana setiap tahun pastinya cabaran baharu akan menanti.

“Saya tidak perlu membuktikan betapa bagusnya saya di atas padang kepada sesiapa kerana telah terbukti dalam sejarah karier saya di Malaysia dan saya pernah memenangi banyak trofi.

“Misi utama saya adalah untuk menghadapi cabaran baharu ini dan membantu Melaka kembali ke saingan Liga Super musim hadapan,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Memperkenalkan Pemain dan Pegawai serta Pelancaran Jersi Melaka FC di sebuah hotel, malam tadi.

De Paula menjadi satu-satunya pemain berstatus pinjaman bersama Melaka FC musim ini selepas dipinjamkan Kelab Johor Darul Ta’zim (JDT).

Beliau akan beraksi di posisi penyerang bersama beberapa pemain berpengalaman seperti S Veenod, Syahrul Azwari Ibrahim, Mohammad Fakhrul Aiman Sidid dan Mohd Idris Ahmad, selain barisan pemain muda.

Dalam pada itu, De Paula turut merakamkan ucapan terima kasih kepada Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim kerana memberinya peluang untuk dipinjamkan kepada pasukan lain dalam merebut tempat di kesebelasan utama selepas dua musim bersama JDT.

“Walaupun sebelum ini saya jarang beraksi dalam kesebelasan utama dan tidak banyak menjaringkan gol bersama JDT, tetapi saya tetap gembira kerana bersama kelab terbaik di Malaysia.

“Terima kasih kepada Tunku Ismail kerana memberi saya peluang ini dan apa boleh saya katakan ialah saya gembira bersama pasukan ini,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

5408
Kongsi :
Previous post UDA komited perkasa usahawan tempatan
Next post Kurangkan birokrasi mudahkan urusan usahawan
Ubah saiz-+=