Deklarasi wartawan bakal diumum pada HAWANA 2022

Masa Membaca:1 Minit, 42 Saat

SHAH ALAM, 25 April – Satu deklarasi bagi menyampaikan hasrat dan impian golongan wartawan berhubung masa depan negara akan diumumkan semasa penganjuran Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2022 di Melaka pada 29 Mei depan.

Presiden Ikatan Setia Kawan Wartawan Malaysia Indonesia (ISWAMI) Datuk Mokhtar Hussain berkata untuk tujuan itu satu jawatankuasa kecil akan ditubuhkan bagi merangka deklarasi berkenaan.

“Perkara-perkara dalam deklarasi itu merujuk kepada pandangan dan hasrat wartawan, serta apa aspirasi mereka terhadap Malaysia yang lebih makmur dan lebih bersatu,” katanya kepada media di sini hari ini.

“Apa yang penting kita nak tunjukkan bahawa wartawan di Malaysia ada solidariti. Kita inklusif, bukan sahaja media arus perdana, tetapi termasuk portal-portal berita pelbagai bahasa termasuk dari Sabah dan Sarawak,” katanya.

Terdahulu, Mokhtar mempengerusikan Mesyuarat Penyelarasan Penganjuran Hawana 2022 yang disertai wakil-wakil media dari seluruh negara.

ISWAMI dan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) akan menjadi penggerak utama penganjuran HAWANA 2022 yang turut melibatkan organisasi, persatuan dan pengamal media yang lain.

Tokoh wartawan Tan Sri Johan Jaaffar, yang menghadiri mesyuarat itu berkata ‘Deklarasi Melaka’ itu penting sebagai penanda kecemerlangan dunia kewartawanan di Malaysia, sekali gus memastikan penganjuran HAWANA 2022 mempunyai impak terhadap golongan wartawan dan industri media negara.

Katanya penganjuran HAWANA 2022 juga akan mempunyai pengisian bermakna dengan ilmu kewartawanan serta perkembangan terkini industri media bagi golongan wartawan menambah ilmu dan membina rangkaian dalam kalangan wartawan termasuk peringkat antarabangsa.

Mengulas lanjut, Mokhtar berkata HAWANA 2022 akan dimulakan dengan Konvensyen Media pada 28 Mei bagi membincangkan hala tuju dan masa depan media, terutamanya apabila berhadapan dengan perubahan teknologi dan persekitaran yang semakin mencabar.

“Pada sebelah malamnya kita akan mengadakan Jamuan Malam Gala dan akan menjemput Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Ali Mohd Rustam,” katanya.

Mokhtar berkata HAWANA 2022 akan dirasmikan pada 2 petang 29 Mei, di sebuah hotel di Melaka dan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah mengesahkan kehadiran beliau untuk merasmikan acara berkenaan.

Selain itu, katanya 17 pemimpin utama media dari Indonesia turut diundang untuk menghadiri HAWANA 2022.- BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

816
Kongsi :
Previous post Kakitangan PPSPM terima ‘duit raya’ RM500
Next post Klip video raya Aliff Syukri: MCMC panggil individu terlibat esok – Annuar
Ubah saiz-+=