Dendam lama jadi punca lelaki dibunuh kejam
AYER KEROH 22 September – Mayat lelaki dengan 18 kesan tikaman yang ditemui berhampiran kebun kelapa sawit di Pulau Sebang sah merupakan pemuda berusia 24 tahun yang hilang di Tampin, Negeri Sembilan.
Ketua Polis Melaka Datuk Wira Zainol Samah berkata, ia selepas pihaknya menerima keputusan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) yang dijalankan ke atas keluarga mendiang.
Kata beliau, susulan penemuan mayat itu, satu operasi yang dinamakan Op Kejam telah digerakkan melibatkan sepasukan pegawai polis daripada Jabatan Siasatan Khas (D9), Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen Melaka (IPK) dan Ibu Pejabat Daerah Polis (IPD) Alor Gajah.
Hasil operasi berkenaan ujarnya, seramai enam individu yang juga rakan mangsa berumur dalam lingkungan 18 hingga 26 tahun telah ditahan.
Katanya, hasil soal siasat, kejadian itu dipercayai bermotifkan dendam lama akibat salah faham pada perayaan Deepavali tahun lalu.
“Pada perayaan itu, salah seorang suspek telah membawa mercun sambil menunggang motosikal berhampiran rumah mangsa dan keluarga mangsa telah menegur serta membuat laporan polis menyebabkan suspek ditahan polis. Suspek juga mendakwa mangsa berlagak selepas kejadian itu.
“Pada kira-kira jam 5.30 pagi 10 September lalu, ketika suspek dalam keadaan mabuk, suspek telah ternampak mangsa di Taman Mutiara dan telah mengajak mangsa minum di dalam kereta.
“Ketika di dalam kereta, suspek bertindak membelasah dan memukul mangsa dengan tangan dan ketika sampai di Kemuning, mangsa dipaksa keluar dari kereta,” katanya dalam satu kenyataan.
Zainol berkata, selepas keluar dari kereta, suspek dipercayai telah mengambil parang panjang dari bonet kereta dan telah menetak dan menikam mangsa.
“Parang tersebut kemudiannya telah disimpan semula ke dalam bonet kereta sebelum suspek bertindak meninggalkan mangsa dan pulang ke rumah,” katanya.
Menurut beliau, kesemua suspek direman sehingga 24 September dan saringan air kencing kesemua mereka didapati bebas daripada penyalahgunaan dadah.
Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.