Dera anak asuhan, wanita Indonesia dipenjara dua tahun

Masa Membaca:1 Minit, 17 Saat

GEORGE TOWN, 23 Mac – Seorang wanita warga Indonesia dijatuhkan hukuman penjara dua tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini, kerana mendera seorang kanak-kanak lelaki berusia setahun di bawah jagaannya tahun lepas.

Ellis Andreyani, 47, yang berkahwin dengan seorang warga tempatan dan telah menetap di negara ini selama tujuh tahun, dijatuhkan hukuman itu selepas mengaku bersalah di hadapan Hakim Mazdi Abdul Hamid.

Menurut kertas pertuduhan, Ellis, sebagai seorang yang mempunyai pemeliharaan ke atas kanak-kanak lelaki itu telah menganiayanya sehingga menyebabkan kecederaan fizikal pada November 2021, antara jam 10 pagi sehingga 3 petang, di sebuah rumah di Persiaran Minden Height, Gelugor.

Dia didakwa di bawah Seksyen 31(1)(A) Akta Kanak-Kanak 2001 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 31(1) akta yang sama, yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM20,000 atau dipenjara tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Rais Imran Hamid dan Muhammad Shahrezal Mohd Shukri manakala Ellis tidak diwakili peguam.

Rabu lepas, media melaporkan bahawa polis telah melengkapkan siasatan berhubung seorang wanita warga asing yang dikatakan mendera kanak-kanak dalam paparan video yang tular di media sosial.

Video berdurasi 15 saat itu memaparkan seorang wanita, dipercayai pengasuh, menampar muka seorang bayi yang sedang menangis berulang kali selain menarik tangannya dengan kuat ketika memakaikan baju.

Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Soffian Santong berkata polis telah menahan wanita itu pada 8 Dis lepas iaitu sehari selepas polis menerima laporan mengenai kejadian itu daripada seorang wanita.- BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1425
Kongsi :
Previous post Pengawal keselamatan didakwa bunuh penyelia kedai buku
Next post Tujuh aset baharu TUDM mula operasi seawal 2024
Ubah saiz-+=