Dewan Negara lulus lima Rang Undang-Undang
RUU tersebut adalah RUU Levi Pelepasan (Pindaan) 2022, RUU Cukai Jualan (Pindaan) 2022, RUU Levi Kenderaan Barang-barang (Pindaan) 2022, RUU Levi Keuntungan Luar Biasa (Pindaan) 2022, dan RUU Cukai Perkhidmatan (Pindaan) 2022.
Timbalan Menteri Kewangan I Datuk Mohd Shahar Abdullah ketika menggulung usul perbahasan RUU Levi Pelepasan (Pindaan) 2022 berkata ia dilaksanakan bagi meminda Akta Levi Pelepasan 2019 (Akta 813).
“Levi Pelepasan ini dikenakan kepada mereka yang meninggalkan Malaysia untuk keluar negara dan sudah pasti levi ini adalah untuk kita pelbagaikan hasil cukai tidak langsung yang dikutip oleh Jabatan Kastam.
“Kadar Levi Pelepasan ini seboleh-bolehnya kita bersifat adil bagi mereka yang menaiki penerbangan kelas ekonomi, kita hanya kenakan RM8 sahaja untuk mereka bergerak dari Malaysia ke negara ASEAN, dan kita kenakan RM20 untuk kelas ekonomi selain dari negara ASEAN.
“Untuk kelas bisnes, kita kenakan untuk negara ASEAN iaitu RM50, dan kelas bisnes untuk negara selain negara ASEAN ialah RM150,” katanya pada persidangan Dewan Negara hari ini.
Sementara itu, beliau berkata RUU Levi Kenderaan Barang-barang (Pindaan) 2022 dilaksanakan bagi meminda Akta Levi Kenderaan Barang-barang 1983 (Akta 294), RUU Levi Keuntungan Luar Biasa (Pindaan) 2022 dilaksanakan bagi meminda Akta Levi Keuntungan Luar Biasa 1998 (Akta 592) dan RUU Cukai Perkhidmatan dilaksanakan bagi meminda Akta Cukai Perkhidmatan 2018 (Akta 807).
Pindaan kelima-lima RUU tersebut dibuat bagi memasukkan peruntukan baharu bertujuan menambah baik pentadbiran melalui peruntukan yang membolehkan fasilitasi tertentu diberikan kepada pembayar cukai khususnya semasa berlaku kecemasan awam seperti bencana alam atau krisis kesihatan awam seperti pandemik COVID-19. – BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.