Didik orang Jasin guna kenderaan elektrik

Masa Membaca:1 Minit, 25 Saat

JASIN 29 Julai – Dalam memperkasa inisiatif pengurangan karbon, Majlis Perbandaran Jasin (MPJ) bakal menganjurkan program Hari Bebas Kenderaan secara berkala di kawasan pentadbirannya.

Yang Dipertua MPJ Rosemanizam Mohammed Nalif berkata, menerusi penganjuran itu, pihaknya mahu mendidik orang ramai terhadap penggunaan kenderaan yang lebih mesra alam.

Menurutnya, kenderaan e-mobiliti seperti skuter dan basikal elektrik akan dipromosikan sebagai antara usaha kita melestarikan Jasin.

“Selain menyahut seruan Kerajaan Negeri terhadap inisiatif bebas kenderaan, ini adalah cara kita mendidik masyarakat Jasin tentang mengurangkan pelepasan karbon di daerah ini.

“Kita galakkan penggunaan kenderaan yang tidak mengeluarkan karbon seperti kenderaan elektrik yang menggunakan bateri dan eletrik.

“Insya-Allah kita akan buat program ini setiap bulan, sementara ini lokasi kita (Bandar Jasin 3) masih kekal dan pada masa sama kita akan menjelajah ke lokasi-lokasi lain dalam daerah Jasin yang boleh memberi impak kepada masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas hadir pada program Jasin Hari Bebas Kenderaan (Car Free Day) di Bandar Jasin 3, di sini, hari ini.

IMG_20230729_133509_046
JASIN 29 Julai – Yang Dipertua Majlis Perbandaran Jasin (MPJ), Rosemanizam Mohammed Nalif mencuba menaiki skuter elektrik ketika mengadakan lawatan pada program Jasin Hari Bebas Kenderaan (Car Free Day) di Bandar Jasin 3. Foto Iqmal Haqim Rosman

Rosemanizam berkata, pihaknya kini sedang mengkaji beberapa lokasi yang lebih bersesuaian bagi memperluaskan inisiatif hari bebas kenderaan selepas ini.

“Ini pertama kali kita buat, selepas ini kita akan cari lokasi lebih memberi impak, kita perlu kaji lokasi berikutnya yang melibatkan trafik dan kenderaan lebih banyak.

“Ini kerana fokus kita (MPJ) sekarang adalah terhadap kawalan karbon, selain mempergiat usaha penanaman pokok di sekitar Jasin,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

4258
Kongsi :
Previous post Pelawa lebih banyak sekolah antarabangsa dibuka di Melaka
Next post Lambaian Masjid Selat
Ubah saiz-+=