Ditahan edar dadah empat hari sebelum bertunang

Masa Membaca:1 Minit, 18 Saat

AYER KEROH 10 Mac – Seorang pekerja syarikat penghantaran terpaksa melupakan majlis pertunangannya Sabtu ini apabila ditahan polis di Alai, Telok Mas di sini selepas disyaki mengedar dadah bersama sepupunya tengah malam semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) negeri, Superintenden Zulkiflee Rashid berkata, serbuan terhadap suspek lelaki berusia 26 tahun jam 12.10 tengah malam semalam dibuat sepasukan pegawai dan anggota dari JSJN Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka.

“Ketika serbuan di rumahnya di Alai, Telok Mas polis menjumpai 40 paket plastik lutsinar berisi ketulan mampat disyaki ganja keseluruhannya seberat 284 gram.

“Kesemua dadah dianggarkan bernilai RM800 mengikut harga pasaran semasa ditemukan di dalam stor rumah berkenaan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Zulkiflee berkata, suspek turut memberitahu akan bertunang pada Sabtu ini dan siasatan awal mendapati lelaki itu dipercayai aktif mengedar dadah di kawasan Alai dan Ujong Pasir.

“Suspek ditahan selepas polis membuat serbuan pertama berhampiran lif di sebuah kondominium di Ujong Pasir jam 11 kelmarin sebelum menahan seorang lelaki berusia 26 tahun.

“Dalam tangkapan itu, polis menemukan enam paket plastik kecil berisi daun kering disyaki ganja seberat 58 gram,” katanya.

Tambahnya, hasil siasatan kemudian membawa kepada kes tangkapan kedua yang juga sepupunya sebelum polis turut menyita dua buah motosikal digunakan kedua-dua suspek.

“Hasil saringan ujian air kencing terhadap kedua-dua lelaki berkenaan bagaimanapun didapati negatif dadah,” katanya.

Kedua-dua suspek direman sehingga 16 Mac ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana mengedar dadah dan Seksyen 39A (2) akta sama kerana memiliki ganja.

 

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

916
Kongsi :
Previous post Sekolah perlu buat pentaksiran dan pemerhatian prestasi murid
Next post ‘Gambar kami tapi cerita orang lain’
Ubah saiz-+=