Dokumen sokongan diperlukan untuk bantu Rohana – Hamzah

Masa Membaca:1 Minit, 54 Saat

KUANTAN, 17 Jan – Siasatan menyeluruh akan dilakukan sebelum dokumen identiti diberikan kepada Rohana Abdullah yang ditinggalkan ketika berusia dua bulan di sebuah tadika 22 tahun lalu, selepas ibunya pulang ke Indonesia, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin.

Beliau berkata dokumen sokongan tertentu turut diperlukan bagi membolehkan isu berkenaan diselesaikan.

“Nak beri seseorang kewarganegaraan mesti ada dokumen diperlukan…banyak lagi yang ada (kes) seperti ini di Sabah dan Sarawak malah di seluruh negara dan ia melibatkan angka yang agak besar.

“Saya difahamkan bapa kepada Rohana adalah warganegara, sebab itu kalau ada dokumen yang membuktikannya mudah untuk kami berikan (dokumen identiti). Jadi ini suatu tanggungjawab yang diberikan kepada saya dan akan dilakukan dengan sebaik mungkin.

“Isu (dokumen identiti) berkenaan juga saya lihat sebagai antara agenda kementerian untuk tahun ini bagi mengurangkan bilangan mereka yang menghadapi masalah sebegini,” katanya ketika ditanya mengenai komitmen Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk membantu Rohana menerusi video yang dikongsi di laman sosial semalam.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan Lawatan Kerja Pengurusan Banjir Pantai Timur, di sini hari ini yang turut dihadiri Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Razarudin Husain, Ketua Polis Terengganu Datuk Rohaimi Md Isa dan Ketua Polis Pahang Datuk Ramli Mohamed Yoosuf.

Lawatan Kerja Pengurusan Banjir Pantai Timur oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin (kanan) di Markas Briged Tenggara PGA, Kuantan, Pahang.

Media sebelum ini melaporkan Rohana, 22, ditinggalkan ibunya seorang warga Indonesia dan dijaga selama hampir 20 tahun oleh seorang wanita, Chee Hoi Lan, 83, yang merupakan guru tadika di tempat ibu Rohana bekerja sebagai pekerja pembersihan.

Rohana dilaporkan terpaksa berhenti sekolah kerana tidak mempunyai dokumen pengenalan diri serta pernah mengalami kebimbangan (anxiety) akibat daripada masalah yang dihadapinya.

Sementara itu, Hamzah memaklumkan pihaknya telah menempah 50 bot pelbagai jenis dianggarkan berjumlah RM3.05 juta yang sesuai diatur gerak ketika banjir, yang tujuh daripada bot berkenaan telah diserahkan untuk kegunaan di negeri Pantai Timur hari ini.

Katanya kesemua tujuh bot buatan Belanda itu diperbuat daripada bahan High Density Polyethylene (HDPR) yang tahan lasak bernilai RM267,000 terdiri daripada pelbagai kapasiti penumpang.

“Saya dimaklumkan baki bot-bot pelbagai saiz dan jenis berkenaan dapat disiapkan dalam tempoh 10 minggu lagi,” katanya.- BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1039
Kongsi :
Previous post Pelekat RFID gagal dikesan antara punca dua tol sesak
Next post Wanita penjawat awam Melaka antara ditahan dadah
Ubah saiz-+=