Dr Akmal mahu realisasikan polisi satu rumah, satu tong sampah
MERLIMAU 2 Feb – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau Dr Muhamad Akmal Saleh bercadang untuk membawa polisi satu rumah satu tong sampah di seluruh Merlimau.
Katanya, polisi baharu itu diangkat bertujuan untuk memastikan kawasan itu sentiasa bersih dan indah serta mengelakkan daripada berlakunya longgokan sampah tidak terkawal seperti yang berlaku di kawasan pelupusan sampah Kampung Kilang Berapi, di sini, semalam.
“Terima kasih pada pihak Majlis Perbandaran Jasin (MPJ) dan SWM Environment yang mengambil tindakan yang pantas untuk membersihkan timbunan sampah di Jalan Kilang Berapi pagi ini setelah aduan saya kemukakan petang semalam.
“Saya juga mohon untuk sementara menunggu rumah sampah dibina, tong sampah yang besar perlu disedia dan diperbanyakkan dikawasan tersebut serta jadual pengambilan sampah perlu mengikut jadual yang ditetapkan.
“Insya-Allah selesai kuarantin wajib nanti, saya sendiri akan berjumpa dengan beberapa agensi dan pihak swasta untuk kita realisasikan polisi ‘SATU RUMAH SATU TONG SAMPAH’ agar Merlimau kita kekal bersih dan indah,” katanya dalam satu hantaran di laman Facebook.
Semalam, Muhamad Akmal yang juga EXCO Kesihatan dan Antidadah negeri dalam satu hantaran memaklumkan mengenai aduan longgokan sampah tidak terkawal yang berlaku di Kampung Kilang Berapi.
Katanya, situasi itu menunjukkan bahawa sudah tiba masa untuk semua pihak berubah bukan sahaja dari sudut infrastruktur, bahkan juga mentaliti.
“Bagaimana sebilangan negara maju rakyatnya mampu menguruskan sampah dengan baik sedangkan fasilitinya hampir sama seperti kita? Jawapannya adalah sikap dan mentaliti mereka juga menjadi kelas pertama sejajar dengan infrastruktur kelas pertama yang disediakan.
“Pengurusan sampah yang baik semuanya memerlukan sokongan dan pengorbanan daripada kita semua, sokongan tenaga dan juga wang ringgit.
“Ini kerana ia tidak akan mampu terjadi dengan baik jika hanya mengharapkan agensi dan bajet dari pihak kerajaan, kali ini pihak kerajaan, swasta serta sokongan daripada seluruh penduduk amat diperlukan. Ini masa untuk kita semua membuat perubahan,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.