Dr Muhamad Akmal cabar Syed Saddiq bertanding di Parlimen Jasin

Masa Membaca:2 Minit, 2 Saat

AYER KEROH 19 Oktober – Ketua Pemuda UMNO Jasin, Dr Muhamad Akmal Saleh mempelawa Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman bertanding di Parlimen Jasin pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Beliau berkata, jika melihat pada kelantangan presiden parti itu bersuara selain keyakinan tinggi terhadap perubahan idea politik yang dibawakannya, penyandang kerusi Parlimen Muar itu mampu bertanding di mana-mana kawasan.

Katanya, Parlimen Jasin adalah kawasan neutral yang boleh dimenangi mana-mana parti malah Barisan Nasional (BN) memenangi 219 majoriti di kawasan terbabit pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

“Saya cabar Syed Saddiq kalau benar ‘jantan’, kita buktikan melalui undi pilihan raya, jika benar agenda perubahan dibawakannya boleh diterima, beliau boleh menang dalam pilihan raya, jika tidak maka rakyat akan menghukum beliau.

“Jadi, saya menyeru dan mengajak beliau untuk bertanding di Parlimen Jasin dan saya akan memastikan siapapun calon BN yang bertanding di Parlimen itu, kita berkempen secara sihat dan matang,” katanya pada sidang media di pejabatnya di Kompleks Seri Negeri di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Dr Akmal yang juga Naib Ketua Pemuda UMNO Melaka berkata sekiranya Syed Saddiq tidak mahu bertanding di Parlimen itu, beliau turut dipelawa untuk memilih mana-mana kawasan neutral lain untuk bertanding.

“Mungkin Syed Saddiq takut untuk bertanding di Parlimen Jasin, saya minta beliau cari tempat neutral tidak kisahlah jika sebelum ini kawasan itu dimenangi BN atau mana-mana parti tetapi kemenangan itu 50-50, beliau boleh datang dan kita lawan.

“Kita bagi dua pilihan kepada Syed Saddiq, satu pilihan kita alu-alukan beliau di sini atau beliau cari tempat yang neutral, kita datang dan kita lawan,” katanya yang turut berkongsi kenyataan itu di laman rasmi Facebooknya pagi tadi.

Bagaimanapun katanya, sejak kenyataan itu dimuat naik di laman terbabit dan ditularkan di laman sosial, tiada sebarang kenyataan balas diterimanya daripada Syed Saddiq.

Katanya, sekiranya bekas Menteri Belia dan Sukan itu mahu berdebat, beliau sedia untuk menyahut cabaran itu dalam tempoh berkempen.

“Ketika PRU14 dalam musim kempen, beliau ajak calonnya berdebat tetapi beliau seolah-olah mengatakan UMNO tidak berani hendak berdebat ketika itu, jadi saya cabar.

“Kalau Syed Saddiq sudi bertanding di Parlimen Jasin, kita akan buat satu sesi debat antara orang muda dan orang muda.

Media sebelum ini melaporkan Pemuda UMNO Bahagian Muar membuat laporan polis dan mahu mengambil tindakan saman terhadap Syed Saddiq yang mendakwa Ceramah Mega Muar Muda diprovokasi dan diganggu oleh pihaknya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

3571
Kongsi :
Previous post KKSL hab program CSR Melaka
Next post Harga runcit RON97, RON95 dan diesel kekal
Ubah saiz-+=