Dr Zaliha, Menteri Kesihatan Malaysia pertama diberi penghormatan pengerusikan Mesyuarat Lembaga Eksekutif WHO

Masa Membaca:1 Minit, 5 Saat

KUALA LUMPUR, 3 Feb – Dr Zaliha Mustafa menjadi Menteri Kesihatan Malaysia yang pertama diberi penghormatan mempengerusikan mesyuarat Lembaga Eksekutif Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sesi ke-152 di Geneva, Switzerland.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata ini kali pertama berlaku dalam sejarah kesihatan negara, dan sepanjang 10 tahun penglibatannya bersama WHO.

Beliau berkata Dr Zaliha diberi penghormatan mempengerusikan mesyuarat itu selepas dilantik sebagai naib pengerusi Lembaga Eksekutif WHO mewakili rantau Pasifik Barat 2023-2024.

“Dr Zaliha Mustafa mempengerusikan mesyuarat Lembaga Eksekutif WHO sesi ke-152 pada sesi poliomyelitis eradication, polio transition planning, dan polio post-certification,” katanya dalam catatan di laman Twitternya.

“Ini merupakan antara pencapaian utama beliau yang sedang dalam lawatan rasmi pertamanya ke luar negara sejak dilantik sebagai Menteri Kesihatan,” tambahnya.

Dr Zaliha bersama delegasi menghadiri mesyuarat itu di Geneva, Switzerland bermula Isnin lepas sehingga Selasa depan, dan selain beliau serta Dr Noor Hisham, turut bersama dalam sesi lawatan rasmi itu ialah pegawai-pegawai daripada Kementerian Kesihatan (KKM).

Mesyuarat Lembaga Eksekutif WHO merupakan mesyuarat berkala dihadiri menteri-menteri kesihatan, ketua-ketua pengarah dah pakar dalam bidang kesihatan.

Ia merupakan platform bagi membincangkan komitmen, dasar, status pelaksanaaan program dan hala tuju sektor kesihatan yang telah dipersetujui secara konsensus di bawah WHO.

— BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1567
Kongsi :
Previous post Warga emas rentung dalam kebakaran rumah
Next post Gajah liar ancam keselamatan penduduk Kampung Lebur Jaya
Ubah saiz-+=