Dua benteng pemecah ombak selamatkan kampung nelayan Tanjung Dahan

Masa Membaca:1 Minit, 39 Saat

KUALA LINGGI 20 Mac. – Kira-kira 60 nelayan di Kampung Tanjung Dahan, di sini lega apabila pembinaan benteng pemecah ombak sudah dimulakan bagi menghalang hakisan pantai.

Sekali gus ia bakal memudahkan mereka untuk menurun dan menaikkan perahu ke pangkalan berbanding sebelum ini berdepan kesukaran kerana tebing pantai setinggi dua meter yang terbentuk akibat hakisan.

PANTAI Kampung Tanjung Dahan, Masjid Tanah mengalami hakisan serius sejak Jun 2020.

Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) negeri membelanjakan RM474,080 bagi kerja baik pulih pantai yang terhakis teruk di kampung itu sejak Jun 2020.

Pengarahnya, Abdul Hakim Hamzah berkata, peruntukan itu dimanfaatkan bagi membina benteng pemecah ombak sepanjang 20 meter dan menyambung benteng pemecah ombak sedia ada sepanjang 30 meter.

“Di kampung itu sudah ada benteng pemecah ombak sepanjang kira-kira 50 meter yang dibina kira-kira dua tahun lalu dan kerja menyambungnya membabitkan binaan sepanjang 30 meter.

“Benteng pemecah ombak yang baharu sepanjang 20 meter penting untuk membantu menahan ombak daripada terus menghakis pantai perkampungan nelayan itu,” katanya di sini hari ini.

Beliau berkata, kerja pembinaan kedua-dua struktur itu dimulakan pada 26 Februari lalu dan dijangka siap sepenuhnya pada 21 Mei ini.

Sehubungan itu, beliau meminta nelayan terbabit bersabar menunggu benteng berkenaan siap.

HASNI…berterima kasih kepada kerajaan negeri kerana membantu membina benteng pemecah ombak.

Nelayan, Hasni Zainizam Hassan, 43, berkata nelayan mengucapkan syukur kepada Allah dan terima kasih kepada kerajaan kerana membantu membina benteng berkenaan.

“Angin kencang dan ombak besar dari arah selatan melanda kampung ini pada Jun tahun lalu dan mula menyebabkan hakisan pantai sedikit demi sedikit.

“Mulai Julai tahun lalu, hakisan semakin melebar dan menyebabkan kami terpaksa memindahkan perahu lebih jauh ke darat bagi mengelakkannya dihanyutkan ombak,” katanya.

Katanya, kesan hakisan beransur-ansur berkurangan apabila angin Monsun Barat Daya bertiup dari Oktober hingga Disember lalu yang menyebabkan pasir laut ditolak semula ombak ke pantai.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1893
Kongsi :
Previous post Ketua Wanita UMNO Bahagian Rasah meninggal dunia
Next post Warga emas dan anak remaja dikejutkan jiran sebelum rumah hangus
Ubah saiz-+=