Warga emas dan anak remaja dikejutkan jiran sebelum rumah hangus

Masa Membaca:1 Minit, 50 Saat

GADEK 20 Mac. – Dua beranak diselamatkan jiran tetangga sebelum kediaman mereka hangus di Kampung Kuala Ina, Jalan Alor Gajah- Tampin, dekat sini awal pagi tadi.

Dalam kejadian jam 6 pagi itu, warga emas yang hanya dikenali sebagai Alwi, berusia lingkungan 70-an dan anaknya, Azwan berusia awal 20-an, dikejutkan jiran ketika api marak.

Saksi kejadian, Musa Md Som, 61, berkata ketika kejadian beliau dan isteri, Rogayah Abdullah, 67, baharu keluar rumah untuk ke masjid.

BEGINILAH keadaan kereta Perodua Viva yang hangus dalam kebakaran di Kampung Kuala Ina, awal pagi ini.- Foto ihsan JBPM

“Kami menaiki kereta ke masjid dan sejurus keluar rumah, kami terlihat api sedang marak dari bahagian dapur rumah Alwi yang kira-kira 100 meter dari rumah kami.

“Isteri saya segera menghubungi bomba dan kami segera ke rumah itu untuk membantu mangsa dan mendapati jiran sekeliling sudah mengejutkan dua beranak itu sebelum membawa mereka keluar,” katanya di sini hari ini.

ANGGOTA bomba memadamkan kebakaran rumah di Kampung Kuala Ina, Jalan Alor Gajah-Tampin awal pagi tadi.

Musa berkata, api yang marak cepat turut menyambar kereta Perodua Viva milik anak Alwi dan ia gagal diselamatkan walaupun beberapa jiran mencuba menyiram air.

“Dalam tempoh kira-kira 20 minit saja keseluruhan rumah separuh batu dan separuh papan itu hangus tetapi kami bersyukur kerana kedua-dua mangsa berjaya dikeluarkan dari rumah,” katanya.

Beliau berkata, sejak kematian isteri beberapa tahun lalu, Alwi tinggal bersama anak lelakinya itu manakala anak yang lain tidak tinggal di rumah itu.

“Pagi ini anak Alwi yang tinggal di lokasi lain membawa kedua-dua mangsa ke rumahnya,” katanya.

Sementara itu, jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Alor Gajah berkata, bomba menerima panggilan jam 6.05 pagi dan menghantar satu jentera dengan enam anggota ke lokasi kejadian.

“Jentera tiba di lokasi kejadian pada jam 6.23 pagi dan berjaya mengawal api pada jam 7.32 pagi sebelum menamatkan operasi kira-kira 10 minit kemudian.

“Ketika anggota tiba, rumah dan kereta itu sudah terbakar kira-kira 80 peratus,” katanya sambil memaklumkan punca kejadian dan jumlah kebakaran masih dalam siasatan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1034
Kongsi :
Previous post Dua benteng pemecah ombak selamatkan kampung nelayan Tanjung Dahan
Next post Polis panggil Najib langgar SOP di restoran
Ubah saiz-+=