Dua hari KIAM ’23, rekod 20,000 pengunjung

Masa Membaca:1 Minit, 7 Saat

PAYA RUMPUT 29 Disember – Penganjuran Karnival Islamik Antarabangsa Melaka (KIAM ’23) berlangsung meriah dan mendapat sambutan ramai apabila kira-kira 20, 000 pengunjung hadir sepanjang dua hari program berlangsung bermula semalam.

Pegawai Tugas-Tugas Khas Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) Datuk Wira Md Rawi Mahmud berkata, dengan pelbagai penganjuran program yang diadakan sepanjang karnival, pihaknya yakin ia akan mendapat perhatian serta dikunjungi ramai.

“Untuk dua hari ini sehingga tengah hari, kita anggarkan kira-kira 20,000 orang sudah mengunjungi karnival ini untuk mengikuti program yang sudah disusun atur termasuk meluangkan masa untuk melakukan pemeriksaan kesihatan yang turut disediakan.

“Angka itu dijangka akan bertambah kerana banyak lagi program menarik akan diadakan seperti hari ini pada sebelah malam akan diadakan pertandingan kompang kreatif. Kami berharap program ini akan berjalan lancar seperti yang sudah diatur,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Ceramah Agama Perdana ‘Ku Langkah Dengan Bismillah’ yang disampaikan penceramah luar negara Ustaz Muhammad Zaaf Fadlan Rabbani Al-Garamatan, di perkarangan Stadium Hang Jebat, hari ini.

Pelbagai pengisian program berbentuk Islamik diadakan pada karnival yang julung kali diadakan itu termasuk Program Bacaan Al-Quran 24 jam tanpa henti bermula Jumaat.

Pada hari terakhir juga akan berlangsung Majlis Khatam Al-Quran Perdana yang akan dihadiri oleh Yang di-Pertua Negeri, Tun Seri Setia Mohd Ali Mohd Rustam.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2918
Kongsi :
Previous post Ekonomi Malaysia positif pada Oktober 2023
Next post Akademi Tahsin, persiapkan peserta akhir hafazan
Ubah saiz-+=