Dua jaringan pantas Wales buat Malaysia “gigit jari”

Masa Membaca:1 Minit, 0 Saat

KUALA LUMPUR, 3 April – Malaysia seri 3-3 dengan Wales selepas dua jaringan pantas pihak lawan pada suku keempat perlawanan, meranapkan impian skuad projek khas wanita negara untuk melakar kemenangan sulung pada Kejohanan Piala Dunia Hoki Remaja Wanita di Potchefstroom, Afrika Selatan, hari ini.

Dalam aksi Kumpulan D itu, skuad bimbingan Mohd Nasihin Nubli Ibrahim terlebih dahulu membuka tirai jaringan menerusi gol padang Elizabeth Epui Martin pada minit ke-14, namun kedudukan itu tidak kekal lama apabila Wales bangkit menyamakan kedudukan melalui pukulan sudut penalti Isabelle Howell pada minit ke-23.

Malaysia kembali berada di hadapan selepas Nuramirah Shakirah Zulkifli menyempurnakan pukulan sudut penalti pada minit ke-33 untuk menjadikan kedudukan 2-1, sebelum beliau melebarkan kedudukan negara menerusi gol padang selang empat minit kemudian.

Namun, Wales berjaya menghukum kealpaan barisan muda kebangsaan menerusi dua jaringan dalam masa dua minit, masing-masing menerusi gol padang oleh pemain gantian Jessica Hill pada minit ke-51 dan Cerys Preston minit ke-53, sekali gus menafikan hasrat Malaysia untuk meraih tiga mata penuh.

Semalam, Malaysia bermula langkah kiri selepas dibelasah 0-10 oleh Jerman.

Malaysia dijadual melengkapkan aksi peringkat kumpulan menentang India, Selasa ini.- BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1688
Kongsi :
Previous post Polis tumpas geng along tawar pinjaman wang tanpa lesen
Next post Siar azan Maghrib awal: Penyampai stesen radio mohon maaf
Ubah saiz-+=