Dua kanak-kanak maut dicampak dari jejambat setinggi 20 meter

KUALA LUMPUR, 2 Ogos – Dua orang kanak-kanak maut manakala seorang lagi cedera parah selepas mereka dicampak oleh seorang lelaki dipercayai bapa mereka dari jejambat setinggi 20 meter di Lebuh Raya Lingkaran Kedua (MRR2) di Kepong pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Sentul, ACP Beh Eng Lai berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian berkenaan pada pukul 5.50 pagi tadi oleh orang awam yang mengatakan seorang lelaki mencampakkan tiga orang kanak-kanak sebelum lelaki itu juga terjun dari jejambat berhampiran Desa Jaya.

“Kanak-kanak lelaki dan perempuan dianggarkan berusia enam dan tujuh tahun dan lelaki berusia 38 tahun disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dan seorang lagi kanak-kanak lelaki cedera parah dan dihantar ke Hospital Selayang,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata siasatan awal mendapati semua yang meninggal dunia memiliki kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Pelarian (UNHCR).

Katanya menurut saksi kejadian, terdahulu lelaki itu dilihat berjalan di jejambat berkenaan dengan mengendong seorang kanak-kanak dan memimpin dua kanak-kanak yang lain dengan tangan kiri dan kanannya.

“Saksi kemudian cuba mendekati lelaki itu bagaimanapun dia secara tiba-tiba telah mencampak ketiga-tiga kanak-kanak itu dan terjun dari jejambat berkenaan,” katanya.

Beh berkata semua mayat dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

— BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

7

Share and Enjoy !

Shares
Previous post LPNM agensi pertanian pertama perkenal chatbot – Ahmad Hamzah
Next post Op Tapis Khas Siri 5: 4,243 individu termasuk penjawat awam dan pelajar ditahan