Dua pelajar senior kes buli rakam keterangan

Masa Membaca:1 Minit, 13 Saat

ALOR GAJAH 9 Julai –  Polis sudah memanggil dua pelajar lelaki yang dipercayai terbabit dalam kejadian buli membabitkan seorang pelajar junior berusia 14 tahun di sebuah sekolah Arab, di daerah ini.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah Superintendan Arshad Abu berkata, kedua-dua pelajar berusia 16 tahun itu dipanggil polis untuk diambil keterangan bagi melengkapkan siasatan.

“Kedua-dua pelajar lelaki yang dipercayai terbabit dalam kejadian buli sudah dipanggil untuk ambil keterangan.

“Bagaimanapun tiada sebarang tangkapan dibuat dan polis kini sedang melengkapkan kertas siasatan yang dibuat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan,” katanya.

Menurut beliau, selepas kertas siasatan itu selesai dan lengkap ia akan dirujuk ke pejabat Pengarah Pendakwaan Negeri (PPN) untuk tindakan seterusnya.

Melaka Hari Ini sebelum ini melaporkan, remaja lelaki berusia 14 tahun disyaki mencekik adiknya berusia sembilan tahun sehingga mati dalam kejadian di Bukit Piatu, di sini, pada Khamis lalu berubah sikap selepas didakwa menjadi mangsa buli.

Bapa remaja itu, Najli Yakob, 42, berkata, anaknya yang tinggal di asrama sebuah sekolah mendakwa dibuli sejak tingkatan satu.

Katanya, perkara itu berlarutan hingga ke tahun ini dan semakin serius, namun anaknya itu dikatakan hanya mendiamkan diri.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit dilaporkan berkata, suspek yang berusia 14 tahun yang juga anak sulung daripada empat beradik dan seorang pelajar sekolah arab yang tidak mempunyai sebarang rekod disiplin.

Katanya, kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan bagi mengetahui motif kejadian dan siasatan lanjut.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

3713
Kongsi :
Previous post Modal perniagaan RM285,000 lesap diperdaya
Next post Bayi perempuan maut dilanggar pacuan empat roda
Ubah saiz-+=