DUA PENGEDAR DADAH DITAHAN BERSAMA GANJA BERNILAI RM65,428
Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Abdul Rozak Muhammad berkata bertindak hasil maklumat awam dan risikan, polis menyerbu sebuah rumah di sini pada pukul 12.15 tengah malam, dan menahan seorang suspek.
“Hasil pemeriksaan di rumah itu polis merampas 22 ketulan mampat daun-daun kering dibaluti plastik lutsinar disyaki dadah jenis ganja anggaran berat 21,041 g bernilai RM65,428 di situ.
“Susulan penahanan suspek itu, polis kemudian menyerbu satu lagi lokasi di Butterworth, dekat sini dan menahan seorang lagi lelaki. Kedua-dua mereka yang berumur 36 dan 37 tahun itu dipercayai anggota sindiket pengedaran dadah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata kedua-dua pengangggur yang positif dadah jenis amphetamine, methaphetamine dan ganja itu didapati mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan jenayah serta dadah, dan kedua-duanya direman sehingga 22 Nov untuk siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Abdul Rozak berkata hasil risikan mendapati sindiket edar dadah itu dipercayai bergiat aktif sejak awal Oktober lepas untuk pasaran di sekitar Pulau Pinang.
— BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.