DUN Merlimau: Makam Tun Teja bakal berwajah baharu
MERLIMAU 26 Mac – Makam Tun Teja yang terletak di Kampung Pengkalan Samak, di sini, akan berubah wajah sedikit masa lagi, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau Dr Muhamad Akmal Saleh.
Katanya, ia berikutan kawasan bersejarah itu kini dalam proses naik taraf dengan menambah pelbagai informasi serta landskap lebih menarik untuk menarik minat orang ramai mengetahui tentang lokasi bersejarah di negeri ini.
“Di Merlimau ini sebenarnya banyak tempat bersejarah yang ramai orang luar dan mungkin dalam Merlimau sendiri tidak perasan. Salah satunya Makam Tun Teja di Kampung Pengkalan Samak.
“Jadi antara perancangan saya untuk DUN Merlimau adalah untuk menaik taraf semula tempat-tempat bersejarah ini dengan pelbagai info dan landskap yang lebih menarik untuk menjadi daya tarikan orang ramai sama ada dari dalam atau luar Merlimau untuk datang dan boleh dapatkan ilmu sejarah asal-usul yang berlaku di Merlimau.
“Alhamdulilah perancangan untuk menaik taraf Makam Tun Teja sedang dilaksanakan dan hampir siap. Insya-Allah raya ini mana-mana yang balik kampung boleh singgah di Makam Tun Teja ya,” katanya dalam hantaran di Facebook rasminya, Akmal Saleh.
Menurut Akmal perancangan itu merupakan antara yang terkandung dalam misi ‘Mewajah Merlimau 5 Tahun’ yang diperjuangkannya sebaik dilantik menjadi wakil rakyat kawasan itu.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.